Dua lelaki koma, terbabit pergaduhan kerana 'Rina'

Dua lelaki koma, terbabit pergaduhan kerana 'Rina'

Dua lelaki koma, terbabit pergaduhan kerana 'Rina'


am@hmetro.com.my

Jasin: Dua lelaki kini dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas dipercayai dipukul menggunakan tangan dan kayu dalam pergaduhan membabitkan sekumpulan individu di Jalan Gapam di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah malam itu, kedua-dua mangsa berusia 21 dan 28 tahun mengalami kecederaan serius di kepala dan dikejarkan ke Hospital Jasin sebelum dipindahkan ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, pihaknya menerima laporan daripada bapa mangsa berusia 21 tahun di Balai Polis Bemban pada 5.05 pagi.

Katanya, siasatan awal mendapati pergaduhan berlaku antara dua kumpulan lelaki berpunca daripada rasa cemburu yang turut membabitkan wanita dikenali sebagai Rina.

“Beberapa lelaki dipercayai memanggil adik lelaki (remaja) kepada mangsa berusia 28 tahun (kerja pemandu lori) dan memintanya supaya memulangkan beg duit milik wanita berkenaan.

“Pertengkaran tercetus dan menjadi semakin tegang apabila remaja itu yang juga saksi kejadian dikatakan ditampar oleh seorang suspek, hingga seterusnya berlaku pergaduhan.

“Abangnya datang membantu (untuk bela nasib remaja itu) namun berlaku pergaduhan dengan beberapa lelaki lain yang menyebabkan dia dan seorang lagi lelaki parah, dipercayai dipukul dengan kayu dan tangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lee berkata, seorang daripada mangsa turut menjalani pembedahan selepas mengalami pendarahan dalam otak, selain patah tangan dan kaki kiri.

Beliau memaklumkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian berjaya merakam kelibat beberapa individu yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan itu dan usaha mengesan mereka giat dilakukan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 dan 148 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dan merusuh.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top