Seramai 1,012 penyewa di bawah program Smart Sewa Selangor bakal menikmati moratorium bayaran sewa rumah selama tiga bulan bermula Oktober hingga Disember 2026 menerusi peruntukan RM2.22 juta yang disediakan Kerajaan Negeri.
Inisiatif di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 itu diperkenalkan bagi membantu meringankan beban kewangan penyewa sekiranya kos sara hidup terus meningkat dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelaksanaan moratorium berkenaan akan diselaraskan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) berdasarkan permohonan yang dikemukakan penyewa.
“Kadar sewa sebulan adalah antara RM450 sehingga RM1,300 sebulan. Kerajaan Negeri berusaha memastikan supaya kadar sewa ini kekal dan tidak meningkat, terutama pada ketika ini.
“Sebagai tambahan, Kerajaan Negeri memahami keadaan yang kemungkinan dihadapi oleh penyewa sekiranya kos sara hidup meningkat dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor, Jumaat lalu.
Menurut Amirudin, bantuan itu merupakan antara langkah Kerajaan Negeri untuk memastikan golongan penyewa tidak terkesan secara langsung dengan tekanan ekonomi susulan ketidaktentuan bekalan dan tenaga di peringkat global.
Moratorium sewaan Smart Sewa Selangor adalah sebahagian daripada 15 inisiatif baharu yang diumumkan menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 melibatkan keseluruhan peruntukan RM209.26 juta.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM145.8 juta bagi melaksanakan tujuh inisiatif di bawah Fasa 1 yang sedang berjalan ketika ini.
Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor diperkenalkan sebagai langkah mitigasi bagi membantu rakyat dan sektor ekonomi negeri menghadapi kesan krisis tenaga serta gangguan rantaian bekalan global susulan konflik di Asia Barat.
KREDIT GAMBAR UTAMA: UTUSAN MALAYSIA






