Individu menyamar guru, kutip bayaran guna kod QR palsu

Individu menyamar guru, kutip bayaran guna kod QR palsu


Ipoh: Polis menerima dua laporan berhubung tindakan individu tidak dikenali menyamar sebagai guru, kononnya mengutip bayaran program akademik sekolah daripada ibu bapa dengan menggunakan kod respons pantas (QR) palsu.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung menerima laporan semalam berkaitan modus operandi yang dilakukan oleh suspek dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Siasatan awal mendapati suspek telah menggunakan nama, gambar dan nombor telefon guru melalui aplikasi WhatsApp sebelum menghantar mesej kepada ibu bapa murid, kononnya bagi tujuan kutipan bayaran program akademik sekolah.

“Suspek turut menghantar kod QR pembayaran yang telah diubah suai menggunakan nama sekolah bagi meyakinkan mangsa supaya membuat pembayaran ke akaun milik suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasbullah berkata, pihaknya percaya modus operandi itu bertujuan memperdaya ibu bapa dengan mengeksploitasi kepercayaan terhadap pihak sekolah.

“Orang ramai dinasihatkan supaya membuat pengesahan dengan pihak sekolah sebelum melakukan sebarang pembayaran, tidak mempercayai arahan pembayaran yang diterima melalui WhatsApp dan memastikan kod QR atau akaun bank yang digunakan adalah akaun rasmi sekolah.

“Sekiranya telah menjadi mangsa penipuan, orang ramai hendaklah segera menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di talian 997, memaklumkan kepada pihak bank dan membuat laporan polis dengan kadar segera bagi membantu siasatan,” katanya.

Hasbullah turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan sebarang permintaan pembayaran yang diterima melalui pesanan tanpa pengesahan daripada pihak yang berkaitan.

Beliau berkata, sebarang maklumat berkaitan jenayah komersial boleh disalurkan ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-688 6222 atau talian hotline WhatsApp 017-682 8005.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top