Datin Noor Kartini sekali lagi menjadi perhatian apabila memberi penjelasan mengenai jualan nasi ayam berharga RM26 sebekas yang diusahakannya setelah menerima pelbagai reaksi dalam kalangan warganet, sekali gus menjadi topik hangat di media sosial.
Nasi ayam jadi meledak
Foto: Harian Metro
Menerusi temu bual bersama Nona, Noor Kartini meluahkan rasa syukur apabila produk makanan yang dijualnya itu mula mendapat perhatian meluas daripada orang ramai.
“Ada orang kata, ‘kenapa masih nak jual nasi ayam? Esok-esok keluar kereta baharu, pergi haji balik harilah.’ Janganlah fitnah begitu. Alhamdulillah, saya bersyukur sangat-sangat, selepas RM26 nasi ayam saya tular, nama nasi ayam meledak sekarang,” katanya.
Menurut Noor Kartini, fenomena tular tersebut secara tidak langsung memberi kesan positif kepada peniaga nasi ayam lain apabila permintaan terhadap makanan itu turut meningkat.
Orang ramai dari luar kawasan seperti Kelantan, Johor dan Melaka juga didapati sanggup mencari nasi ayam di pelbagai lokasi apabila teringin untuk menikmatinya.
“Orang-orang dari luar Kuala Lumpur dan yang jauh, apabila mereka teringin nak makan nasi ayam, mereka akan pergi ke kedai. Seperti di Kelantan, Johor, Melaka dan sebagainya. Jadi, Alhamdulillah nama nasi ayam dah jadi satu fenomena,” jelasnya.
Ibu kepada pelakon cantik Noor Neelofa itu turut menjelaskan bahawa harga RM26 itu sendiri menjadi faktor perhatian, berbanding jika dijual pada harga lebih rendah.

“Disebabkan RM26, kalau saya buat RM8, siapa yang nak kisah?
“Saya pun gembira sebab sekarang peniaga-peniaga nasi ayam boleh kembangkan lagi perniagaan mereka dan makin maju serta berkat. InsyaAllah dapat membantu kewangan keluarga,” tambahnya lagi.
Artikel lain: Pandai jaga diri, Noor Kartini bangga anak2 tak pernah ke tempat judi
Dalam masa sama, dia meluahkan rasa gembira kerana fenomena tersebut turut membantu peniaga kecil lain untuk mengembangkan perniagaan serta meningkatkan pendapatan keluarga masing-masing.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata warganet memberikan reaksi positif, dengan ramai yang melihat trend ini sebagai pemangkin kepada peningkatan minat orang ramai untuk membeli nasi ayam daripada pelbagai peniaga lain.
Sumber: TikTok nona.my





