TANGKAK: Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Suraya Sulaiman diumumkan sebagai calon tunggal parti tersebut dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan datang.
Perkara itu diumumkan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, semalam.
“Saya memperkenalkan calon Perikatan Nasional (PN) di dalam Pilihan Raya Negeri Johor 2026 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir iaitu Suraya Sulaiman.
“Saya memohon kerjasama erat jentera Pejuang dan jentera-jentera komponen PN khususnya di kawasan tersebut untuk kita bergerak bersama-sama untuk menambat hati pengundi,” katanya menerusi sidang akhbar yang diadakan, di sini.
Tambah Mukhriz, tidak mustahil untuk PN diberikan mandat secara majoriti oleh rakyat negeri Johor pada PRN Johor, 11 Julai ini untuk menubuhkan kerajaan negeri yang baharu.
“Itu bukanlah satu perkara yang mustahil, tetapi kita mesti bekerja keras untuk mencapai matlamat tersebut,” katanya.
Selasa lalu, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan Pejuang dan Parti Cinta Malaysia (PCM) diterima untuk menjadi ahli gabungan itu secara rasmi.-UTUSAN






