sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ketiadaan pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong dalam skuad kebangsaan diakui memberi impak besar dan menjadi satu kehilangan buat acara berkenaan.
Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Kebangsaan, Kenneth Jonassen mengakui Tze Yong adalah seorang pemain yang memiliki corak permainan berkualiti serta berpotensi untuk menyinar sekiranya tidak dibelenggu kecederaan.
“Dari sudut peribadi, ia sememangnya sukar untuk kehilangan pemain dengan kualiti dan potensi yang dimilikinya sebagai seorang pemain badminton yang sangat berbakat secara semula jadi.
“Tidak dinafikan ketika saya membuat keputusan untuk datang ke sini (Malaysia) pada 2024, dia antara pemain yang paling saya nantikan untuk dilatih serta dibimbing di kejohanan dan sesi latihan,” katanya selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.
Namun, kecederaan demi kecederaan yang dialaminya menyebabkan segala perancangan yang sudah disusun tidak dapat dilaksanakan, sekali gus memberi kesan kepada pemain itu sendiri.
Ketika ditanya mengenai keputusan keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM), pemain berusia 26 tahun itu berkata kedua-dua pihak tidak mempunyai sebarang masalah peribadi dan mencapai kata sepakat untuk membawa haluan masing-masing.
“Kami telah melalui beberapa perbincangan. Ia satu proses yang sangat baik, penuh kejujuran dan banyak pertimbangan dibuat sebelum keputusan ini dicapai. Daripada perspektif peribadi, ia satu proses yang sukar, tetapi kami akhirnya menemui penyelesaian terbaik untuk kedua-dua pihak,” katanya.
Selain itu, Jonassen berharap pemain kelahiran Johor itu dapat mencari semula titik kebangkitan dan kembali ke tahap kecergasan terbaik seperti sebelum mengalami kecederaan serius.
“Apa yang pasti, segala-galanya sebagai seorang pemain perlu datang dari dalam diri sendiri. Jika dia mampu mencari semula tenaga dan keinginan untuk melangkaui had kemampuan, dia masih mempunyai potensi untuk kembali.
“Badminton perseorangan lelaki adalah sukan yang sangat mencabar, sangat fizikal dan memerlukan tahap kecergasan tinggi setiap hari,” katanya.
Ketiadaan Tze Yong dalam skuad kebangsaan menyaksikan fokus BAM kini lebih terarah kepada Leong Jun Hao dan Justin Hoh bagi menggalas cabaran negara di setiap kejohanan.
Untuk makluman, ketika ini wakil perseorangan lelaki negara masih bergelut untuk menyerlah apabila kerap terkandas di pusingan awal kejohanan.
Semalam, BAM memaklumkan bahawa Tze Yong secara rasmi bakal menamatkan kontrak bersama badan induk itu berkuat kuasa 30 Jun 2026 selepas berehat panjang ekoran kecederaan demi kecederaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






