PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak, Amir Raja Lawak, mendedahkan dia pernah merasakan hilang rasa dihormati oleh pekerjanya sendiri sewaktu awal-awal menguruskan perniagaannya dahulu.
Amir atau Mohammad Amirullah Azmi, 37, berkata, pelbagai ragam pekerja yang dihadapi sebelum ini membuatkannya rasa langsung tidak dihormati, sebelum akhirnya menemui tiga staf yang benar-benar berkualiti dan boleh diharapkan sekarang.
“Dengan pekerja juga ada cabaran kerana pelbagai perangai, tiba-tiba hendak bercuti, mencuri duit, dan sesama sendiri bergaduh. Pernah saya sendiri rasa macam pekerja tidak hormat saya, padahal mereka bekerja dengan saya.
“Dahulu saya ada ramai pekerja, tetapi sekarang Alhamdulillah tiga orang ini sudah mencukupi. Tiada lagi perangai seperti yang sebelum-sebelum ini terpaksa saya layan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Kata Amir, cabaran utama dalam perniagaan bukan sekadar menguruskan pekerja tetapi tentang bagaimana mahu mengekalkan kualiti dan kepercayaan daripada para pelanggan.
“Cabaran dalam berniaga adalah untuk menarik pembeli datang ke kedai kerana pelanggan ini kita kena jaga betul-betul. Kita kena buat makanan itu seperti kita sendiri hendak makan.
“Dalam perniagaan ini, di samping layanan baik kepada pelanggan, kualiti barangan kena jaga dan nama juga penting. Jadinya, apabila nama sudah ada, teruskan sahaja berniaga,” jelasnya.
Amir kini giat menjalankan perniagaannya sendiri iaitu perniagaan menjual ayam goreng rangup di Stadium Kota Bharu, Kelantan.
Untuk rekod, Amir pernah dicalonkan dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-37 menerusi kategori Artis Komedi Pupular.
