Kerajaan akan menyegerakan pembangunan perumahan sewa murah untuk penjawat awam selepas mendapati peningkatan kadar sewa rumah menjadi antara beban utama yang dihadapi golongan itu di beberapa negeri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dikenal pasti hasil lawatan beliau ke Pulau Pinang, Perak, Johor dan Negeri Sembilan, yang mendedahkan ramai penjawat awam berdepan kesukaran mendapatkan rumah sewa pada kadar berpatutan.
“Kita akan bangunkan perumahan untuk penjawat awam dengan sewa murah supaya dia dapat sewa dengan kadar yang murah.
“Jadi ia tidak membebankan keluarga. Ini langkah-langkah kita ambil, kita akan segerakan,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jameatus Solehah, Pekan Dengkil hari ini.
Menurut Anwar, walaupun kerajaan telah melaksanakan kenaikan gaji penjawat awam antara 15 hingga maksimum 30 peratus, peningkatan kadar sewa rumah di bandar utama seperti Johor Bahru, Kuala Lumpur, Seremban dan Ipoh masih memberi tekanan kepada golongan berkenaan.
“Walaupun kita naikkan gaji mereka antara 15 (hingga) maksima 30 peratus, tetapi kadang-kadang kalau di Johor Bahru, Kuala Lumpur, Seremban, Ipoh, tidak dapat menampung kadar sewa yang meningkat,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan turut mengenal pasti tanah milik kerajaan yang sesuai untuk dibangunkan sebagai perumahan bagi penjawat awam, termasuk untuk anggota kastam dan polis.
“Sama ada untuk kastam atau polis, sebaik saja ada ruang, kita akan bangunkan perumahan untuk penjawat awam,” katanya.
Terdahulu, Datuk Seri Anwar menyantuni kira-kira 1,200 jemaah yang menunaikan solat Jumaat di Masjid Jameatus Solehah yang diimamkan oleh Muhammad Asyraf Kamaluddin.
KREDIT GAMBAR UTAMA: BORNEO POST






