Kuala Lumpur : Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) akan memperluaskan penawaran kandungannya di platform Astro menerusi penyediaan saluran Berita RTM, Sukan+ serta rangkaian saluran radio RTM kepada pelanggan syarikat penyiaran itu dalam masa terdekat.
Perkembangan itu adalah sebahagian daripada kerjasama strategik yang diperkukuh antara RTM dan Astro bagi memastikan kandungan tempatan yang berkualiti dapat diakses oleh lebih ramai rakyat melalui pelbagai platform penyiaran.
Dalam satu kenyataan media bersama hari ini, kedua-dua pihak memaklumkan rakyat akan terus menikmati saluran TV1, TV2 dan TV Okey di platform Astro, NJOI dan Sooka, manakala penawaran Berita RTM, Sukan+ serta saluran radio RTM akan diperluaskan kepada pelanggan Astro.
“Peluasan ini dijangka meningkatkan akses rakyat kepada kandungan awam yang berkualiti, dipercayai dan relevan, di samping memperkukuh penyampaian maklumat berkepentingan nasional kepada pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.
RTM dan Astro berkata, landskap media yang semakin berkembang memerlukan pendekatan lebih progresif, inklusif dan berorientasikan masa hadapan selaras dengan perubahan teknologi serta corak penggunaan media.
“Sehubungan itu, RTM dan Astro komited untuk terus memperluaskan kerjasama strategik yang mampu merancakkan pembangunan kandungan tempatan, memperkasa bakat kreatif negara serta menyumbang kepada pertumbuhan industri media yang lebih mampan, berdaya saing dan relevan.
“RTM dan Astro turut berkongsi aspirasi yang sama untuk mewujudkan ekosistem media yang mampan, mesra pengguna dan memberikan nilai terbaik kepada rakyat.
“Seiring perkembangan teknologi serta peningkatan pilihan platform media, kedua-dua pihak percaya kerjasama yang lebih erat antara pemain industri adalah penting bagi memastikan akses kepada kandungan berkualiti dapat terus diperkasakan pada kos yang berpatutan dan tidak membebankan rakyat,” katanya.
Menurut RTM dan Astro, kerjasama lebih erat antara pemain industri penting bagi memastikan akses kepada kandungan berkualiti terus diperkasakan pada kos yang berpatutan tanpa membebankan rakyat.
Kedua-dua pihak turut yakin kerjasama yang diperkukuh itu akan memberi manfaat kepada kedua-dua organisasi, selain memperkukuh industri media tempatan serta memperluaskan akses rakyat kepada kandungan yang berkualiti, dipercayai dan relevan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






