AMK minta had 300 liter sebulan dikembalikan


MELAKA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) mahu siling subsidi petrol BUDI95 disemak semula dan mengembalikan sekurang-kurangnya 300 liter sebulan dengan tambahan sehingga 350 liter bagi golongan yang mempunyai keperluan mobiliti lebih tinggi.

Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, sebelum ini kerajaan telah menurunkan had kelayakan bulanan daripada 300 liter kepada 200 liter mulai April lalu sebagai langkah sementara ketika harga minyak dunia meningkat dan kos subsidi melonjak.

“Jika tekanan harga minyak dunia kembali reda, kedudukan fiskal negara terus mengukuh dan hasil kerajaan memberikan ruang yang lebih besar.

“Kita mencadangkan supaya siling subsidi BUDI95 disemak semula dan dikembalikan sekurang-kurangnya kepada 300 liter sebulan dengan mekanisme tambahan sehingga 350 liter bagi kelompok yang mempunyai keperluan operasi dan mobiliti yang lebih tinggi, tertakluk kepada pengesahan data dan kriteria yang jelas.

“Kita tidak mencadangkan subsidi tanpa had. Kita juga tidak mencadangkan kerajaan mengabaikan disiplin fiskal. Apa yang kita minta ialah sebuah mekanisme yang lebih responsif terhadap keadaan ekonomi rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional AMK 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini malam tadi.

Menurut Muhammad Kamil, kerajaan perlu memanfaatkan data sedia ada bagi memastikan mekanisme subsidi dapat dilaksanakan secara lebih bersasar dan mengambil kira corak penggunaan sebenar rakyat.

“Kita harus menggunakan data yang kita sudah miliki. Jika kerajaan mempunyai kemampuan untuk mengenal pasti corak penggunaan setiap penerima, maka dasar subsidi tidak seharusnya hanya mempunyai satu siling yang sama untuk semua keadaan.

“Pemandu yang menggunakan kenderaan untuk perjalanan harian yang jauh, pekerja yang perlu berulang-alik antara daerah, mereka yang tinggal di kawasan dengan pengangkutan awam yang terhad serta kelompok yang menggunakan kenderaan sebagai sebahagian daripada sumber pendapatan mempunyai keperluan yang berbeza daripada pengguna biasa,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top