puterialia@hmetro.com.my
INDUSTRI perfileman tanah air bakal disajikan dengan naskhah sarat inspirasi apabila filem Terbang garapan pengarah, Chiu Keng Guan dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 17 September depan.
Filem yang diinspirasikan daripada kisah benar legenda rali negara, Datuk Karamjit Singh itu mengangkat perjuangan anak tempatan yang berani mencabar keupayaan diri untuk mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.
Keng Guan yang popular menerusi filem pecah panggung OlaBola dan The Journey mengakui terpanggil untuk memindahkan kisah hebat berkenaan ke layar perak selepas pertama kali mendengarnya daripada rakan pengurusan.
Menurutnya, selepas kejayaan kedua-dua filem itu, dia sentiasa mencari sesuatu yang menyentuh hati dan mencerminkan identiti Malaysia.
“Maka apabila kisah Datuk Karamjit sampai kepada saya, saya tertanya-tanya bagaimana rakyat kita sendiri tidak mengetahuinya? Bagi saya, ini adalah kebanggaan nasional.
“Ada satu petikan kata dalam filem ini yang sangat saya suka iaitu ‘when everything seems under control, it means you are not fast enough’ (apabila segala-galanya kelihatan terkawal, bermakna anda belum cukup pantas).
“Bermakna, kita tidak boleh takut untuk mencuba sesuatu yang baharu dan melepasi had,” katanya pada sidang media filem berkenaan, baru-baru ini.
Sementara itu, Karamjit mendedahkan dia sendiri yang meletakkan syarat agar Keng Guan dilantik sebagai pengarah filem itu kerana kagum dengan keupayaannya yang mampu menghasilkan karya yang menyentuh emosi.
“Saya mahukan Keng Guan menjadi pengarah. Selepas menonton OlaBola, filem itu membuatkan saya menangis. Keng Guan berjaya menterjemahkan pelbagai emosi dengan sangat berkesan.
“Filem ini membuktikan bagaimana pasukan ‘underdog’ mampu melakar kejayaan di peringkat antarabangsa,” katanya.
Kehebatan naratif filem Terbang turut diakui barisan pelakon utama termasuk Zizan Razak, Irfan Zaini dan Diana Danielle.
Zizan yang memegang watak sebagai mekanik mengakui tiada alasan untuk menolak tawaran berkenaan kerana Karamjit adalah idolanya sejak kecil.
Manakala, Irfan yang memegang watak Karamjit berharap semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa hadir menyokong dan menonton filem ini.
Sementara itu, Diana pula menyifatkan pembabitannya dalam filem sebagai satu penghormatan besar kerana ia adalah kisah benar pelumba rali tempatan pertama yang diangkat ke layar perak.
Diterbitkan oleh Astro Shaw dengan kerjasama EJJ Films, Enotech Pictures dan Aventure Space, filem ini turut ditayangkan dalam format 4DX yang menawarkan pengalaman sinematik imersif menerusi kerusi bergerak dan kesan persekitaran seperti angin, air serta bau.
© New Straits Times Press (M) Bhd
