Jerebu dijangka berterusan 7 hari lagi


PETALING JAYA: Jerebu yang melanda beberapa kawasan di negara ini dijangka berterusan tanpa perubahan ketara sepanjang tempoh seminggu akan datang.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, keadaan cuaca juga dijangka kekal hampir sama sepanjang minggu hadapan.

“Hujan sementara mungkin berlaku di beberapa kawasan, namun jumlahnya dijangka tidak mencukupi untuk mengurangkan jerebu secara menyeluruh.

“Jerebu setempat ketika ini lebih tertumpu di kawasan perindustrian dan berpenduduk padat seperti Lembah Klang serta Pulau Pinang.

“Bagi selatan dan barat Sara­wak pula, keadaan itu dipengaruhi jerebu rentas sempadan berikutan banyak kebakaran terbuka dikesan berlaku di barat Kalimantan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, perubahan cuaca yang lebih ketara dijangka berlaku selepas berakhirnya Monsun Barat Daya.

“Keadaan cuaca dijangka ber­ubah dengan lebih ketara selepas Monsun Barat Daya berakhir pada penghujung September ini,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) memaklumkan, penutupan sementara sekolah-sekolah yang terjejas akibat jerebu di kawa­san Serian dilanjutkan sehingga Jumaat.

Katanya, keputusan itu di­buat susulan satu sesi libat urus bersama pengetua serta guru besar sekolah menengah dan sekolah rendah di bawah selia­an Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Serian.

“Keputusan ini dibuat agar tidak membebankan pihak pentadbir sekolah, guru, ibu bapa serta murid-murid terutamanya yang melibatkan sekolah ber­asra­ma.

“Sebarang perubahan atau maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan.

Sebanyak 10 kawasan di Sa­rawak, Selangor dan Wilayah Per­sekutuan Kuala Lumpur men­catatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat 6 petang semalam.

Menurut Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), Sarawak mencatatkan kawasan tertinggi terjejas de­ngan tujuh kawasan mencatat bacaan IPU antara 146 hingga 179.

Di Selangor pula Johan Setia mencatatkan IPU 154, dan Shah Alam (104) sementara Cheras di Kuala Lumpur IPU 146.

Sementara itu, Pengarah Ka­nan Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Nasional (POCGN), Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Maqrun Fadzli Mohd. Fahmi berkata, hujan diramal di beberapa tempat tetapi tidak cukup memperbaiki kualiti udara secara menyeluruh.

“Daripada maklumat yang kami ada setakat ini, kita tidak melihat ada satu perubahan besar daripada situasi ini. Kita jangka keadaan ini akan hampir sama juga dan dalam beberapa hari akan datang, akan ada sedikit hujan berbanding keadaan kering sekarang.

“Kita harap hujan membantu tetapi kalau keadaan udara banyak berjerebu, hujan yang sedikit mungkin tidak mampu menghilangkan kesan jerebu tersebut,” katanya dalam program Fokus 15: Ancaman Jerebu Rentas Sempadan.

Dalam pada itu, kebakaran hutan dan tanah yang semakin merebak di Kalimantan memusnahkan tanaman serta ladang penduduk.

Indonesia dilaporkan berjaya memadamkan empat kebakaran hutan dan tanah yang menjejaskan keseluruhan kawasan seluas 16 hektar di empat provinsi.

Pemangku Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Bencana Agensi Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Dodi Yuleova dilaporkan berkata, kejadian dilaporkan di Trenggalek, Jawa Timur; Sragen, Jawa Tengah; Cianjur, Jawa Barat dan Sidenreng Rappang, Sulawesi Selatan. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top