mdroji@bh.com.my
Kuching: Sebuah paip ‘vent stack’ di fasiliti minyak dan gas di perairan Miri disambar petir yang mengena saluran gas dan berlaku letupan, hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, tindakan segera menutup injap (shut off valve) dilakukan bagi mengawal keadaan dan mengelakkan sebarang risiko.
Menurutnya, kejadian itu bagaimanapun tidak menyebabkan kebakaran dan keadaan terkawal.
Beliau berkata, maklumat daripada Ketua Keselamatan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) mengesahkan insiden berkenaan serta memaklumkan semua prosedur keselamatan telah dilaksanakan mengikut tatacara yang ditetapkan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya belum menerima laporan rasmi berhubung kejadian itu.
“Setakat ini memang tiada laporan, tetapi difahamkan kejadian itu memang berlaku akibat penahan petir yang menyambar tempat pelepasan gas di pelantar dan difahamkan juga kejadian seperti itu biasa berlaku di pelantar.
“Bagaimanapun, polis masih mengesan syarikat kontraktor pengendali pelantar berkenaan untuk mendapatkan butiran lanjut,” katanya ketika dihubungi,” katanya.
Video letupan di tengah laut berdurasi 26 saat itu tular di media sosial petang ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd






