Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan tiada kompromi terhadap sebarang perbuatan buli di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) susulan satu kes yang didakwa berlaku di sebuah MRSM di Johor.
Menerusi kenyataan di media sosial, pihaknya hanya mengetahui mengenai kejadian itu selepas ibu bapa mangsa membuat hantaran di media sosial memaklumkan anak mereka mahu keluar dari MRSM kerana tidak lagi mampu menanggung penderitaan akibat dibuli.
Kejadian libatkan pelajar tingkatan 5
Berdasarkan maklumat yang diterima, kejadian itu dipercayai melibatkan enam pelajar Tingkatan 5.
Ibu bapa mangsa juga telah membuat laporan polis dan keenam-enam pelajar terbabit dilaporkan ditahan reman selama dua hari bagi membantu siasatan.

Jika terbukti salah, bakal dibuang
Susulan itu, Asyraf Wajdi mengarahkan Bahagian Pendidikan Menengah MARA (BPM) dan pihak pentadbiran MRSM mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) dalam tempoh 24 jam bagi menjalankan siasatan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pelajar yang didapati terlibat.
“Jika terbukti bersalah, mereka hendaklah disingkirkan daripada MRSM,” ujarnya tegas.
Beliau turut menegaskan bahawa sebarang perbuatan membuli atau mengambil tindakan sendiri atas alasan mahu mendisiplinkan pelajar junior sama sekali tidak boleh diterima.
Dalam masa sama, beliau mengulangi pendirian tegas yang sentiasa ditekankan kepada seluruh warga MRSM.
“Walau apa juga alasan yang diberikan, perbuatan membuli atau mengambil tindakan sendiri atas alasan mahu ‘mendisiplinkan’ pelajar junior adalah sama sekali tidak boleh diterima dan tidak akan dikompromikan…”
“YOU TOUCH, YOU GO,”
“Sesiapa yang terbukti melakukan perbuatan buli, tiada lagi tempat untuk mereka di MRSM,” katanya lagi.
Beliau turut menggesa semua pelajar MRSM supaya tidak takut tampil membuat laporan sekiranya menjadi mangsa atau menyaksikan kejadian buli.
“Jangan takut untuk melaporkan sebarang kejadian buli. Jangan memilih untuk keluar daripada MRSM kerana tidak tahan menjadi mangsa. Laporkan segera kepada guru, warden atau pihak pentadbiran supaya tindakan dapat diambil dengan segera,” ujarnya.
Pada masa sama, Asyraf Wajdi turut memberi amaran bahawa tindakan sewajarnya akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang cuba menyembunyikan atau melindungi kes buli.
Beliau juga memberi amaran sekiranya terdapat mana-mana pihak yang cuba menyembunyikan atau melindungi perbuatan buli ini, MARA tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya.
Tegasnya, tiada sebarang kompromi dan tempat untuk pembuli di MRSM.
Sumber: Facebook Asyraf Wajdi Dusuki






