UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) terus membuktikan komitmennya dalam pembangunan bola sepak negara apabila menghimpunkan tokoh industri, ahli akademik dan pengamal sukan menerusi Seminar UiTM – Football Science & Performance+ 2026 di Kompleks Sukan UiTM, Shah Alam di sini, pada Ahad.
Seminar selama dua hari itu menjadi medan perkongsian ilmu apabila menghimpunkan 112 peserta terdiri daripada jurulatih, pegawai sukan, pensyarah, penyelidik, pelajar serta pengamal industri dari seluruh negara bagi membincangkan perkembangan terkini dalam sains sukan dan prestasi bola sepak moden.
Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd berkata, landskap bola sepak moden menuntut pendekatan lebih saintifik dan tidak lagi boleh bergantung kepada bakat semula jadi semata-mata.
Menurutnya, elemen penyelidikan, teknologi serta kepakaran saintifik kini menjadi komponen penting dalam membentuk pemain, jurulatih dan pegawai sukan yang mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.
“Kerjasama erat antara institusi pengajian tinggi dan industri mampu mempercepat pembangunan modal insan bola sepak, sekali gus melahirkan lebih ramai tenaga profesional yang kompeten,” katanya ketika menyempurnakan majlis penutupan seminar berkenaan.
Sebagai institusi yang diiktiraf Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai Pusat Sukan Tumpuan (PST) Bola Sepak, UiTM terus memainkan peranan penting sebagai jambatan yang menghubungkan dunia akademik dengan industri menerusi penyelidikan, inovasi dan perkongsian kepakaran.
Sepanjang seminar itu, peserta mengikuti pelbagai sesi yang menyentuh aspek sains sukan, nutrisi atlet, pembangunan bakat, prestasi pemain serta tadbir urus bola sepak yang disampaikan oleh pakar dalam bidang masing-masing.
Antara barisan penceramah ialah Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Datuk Ong Kim Swee; Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM, Raja Mohammed Firhad Raja Azidin; Perunding Nutrisi Sukan Selangor FC, Tania Lee Xu Yar; Ahli Lembaga MFL, Mustaza Ahmad; serta Penolong Pesuruhjaya Sukan Kanan, Abu Zarin Abu Hasan.
Sementara itu, penganjuran seminar itu turut mencerminkan kesungguhan UiTM dalam memperkukuh hubungan strategik dengan industri bola sepak profesional bagi melahirkan lebih ramai tenaga mahir yang berteraskan penyelidikan, inovasi dan amalan terbaik sukan moden.
UiTM turut menyasarkan seminar tersebut menjadi acara tahunan yang mampu menghimpunkan penyelidik, jurulatih, pemain dan penggiat industri sebagai platform memperkasa pembangunan bola sepak negara secara lebih sistematik dan mampan.






