Belanda bersatu demi Gakpo

Belanda bersatu demi Gakpo


Monterrey: Skuad Belanda bersatu memberi sokongan kepada penyerang, Cody Gakpo selepas beliau dan pasangannya kehilangan bayi lelaki yang masih dalam kandungan.

Pasangan Gakpo, Noa van der Bij berkongsi berita sedih itu menerusi media sosial pada Sabtu.

Gakpo kemudian diberikan masa untuk bersama keluarganya yang berada berhampiran kem latihan Belanda di Kansas City ketika pasukan itu bersaing dalam Piala Dunia 2026.

Jurulatih Belanda, Ronald Koeman berkata seluruh pasukan bersatu memberikan sokongan yang diperlukan kepada pemain berusia 27 tahun itu.

“Kami sudah melakukan apa yang termampu dari segi sokongan, sama ada pemain mahupun barisan kejurulatihan.

“Sudah tentu pada beberapa hari pertama dia diberi kebebasan untuk bersama keluarganya.

“Dia menghadapinya dengan sangat baik dan tidak pernah sekali pun berkata dia mahu meninggalkan pasukan untuk pulang bersama keluarga,” kata Koeman.

Kapten Belanda, Virgil van Dijk turut memuji ketabahan Gakpo dan keluarganya menghadapi ujian terbabit.

Beliau menjangkakan Gakpo akan tetap memberikan tumpuan penuh kepada aksi menentang Maghribi pada pusingan 32 terbaik.

“Perkara paling penting ialah bertanya, ‘apa yang kamu perlukan?’

“Ini berita yang amat menyedihkan dan mengingatkan kita bahawa bola sepak bukan segala-galanya. Ada perkara yang jauh lebih penting dalam kehidupan.

“Walaupun ia amat menyedihkan, Cody menanganinya dengan sangat matang. Saya amat menghormati cara dia dan keluarganya menghadapi situasi ini,” katanya.

Gakpo masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara itu namun dijangka diturunkan dalam perlawanan menentang Maghribi.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top