Impian jadi kenyataan buat Johor

Impian jadi kenyataan buat Johor


SHAH ALAM: Penantian selama tiga musim akhirnya berakhir apabila impian Johor untuk kembali menjulang Piala Agong menjadi kenyataan selepas menewaskan Terengganu 34-26 pada aksi final edisi ke-42 di Stadium UiTM, Shah Alam, semalam.

Presiden Ragbi Johor, Datuk Mohd Noorazam Datuk Osman mengakui kejayaan itu cukup bermakna selepas dua kali dikecewakan di pentas final, termasuk kekalahan dramatik pada saat akhir musim lalu.

“Kami sangat bersyukur kerana selepas tiga tahun berturut-turut mencuba memenangi Piala Agong, akhirnya tahun ini pemain bermain dengan tenang, mengikut pelan permainan dan menunjukkan semangat luar biasa untuk bangkit meraih kemenangan.

“Saya berterima kasih kepada semua pemain, barisan pengurusan, jurulatih, Kerajaan Negeri Johor serta Duli Yang Maha Mulia Tunku Mahkota Johor yang banyak memberi sokongan terhadap pembangunan ragbi Johor,” kata Noorazam.

Johor yang dibimbing bekas pemain New Zealand, Rodney So’oialo bangkit daripada ketinggalan 0-19 sebelum merapatkan kedudukan kepada 17-19 pada babak pertama dan menguasai separuh masa kedua untuk muncul juara buat kali ketiga selepas edisi 2013 dan 2017.

Mengulas kebangkitan luar biasa itu, Noorazam mendedahkan aspek kecergasan menjadi senjata utama Johor sehingga berjaya mengatasi Terengganu pada penghujung perlawanan.

“Saya beritahu pemain kita perlu bermain sehingga tamat perlawanan kerana pasukan yang lebih cergas akan menguasai permainan, dan sebab itu kami memberi penekanan terhadap kecergasan sejak awal persiapan termasuk menentang pasukan seperti Sri Lanka.

“Saya juga hanya meminta mereka bermain seperti biasa, fokus dan menikmati perlawanan kerana itulah identiti Johor, selain percaya kepada program pembangunan yang kami bina untuk melahirkan lebih ramai pemain berkualiti,” katanya.

Noorazam turut mengesahkan pemain akan menerima ganjaran khas sebagai penghargaan atas kejayaan menamatkan kemarau kejuaraan yang berlarutan selama sembilan tahun.

Sementara itu, Kelantan menamatkan kempen di tempat ketiga selepas menewaskan juara bertahan, PDRM 43-41, sekali gus menafikan impian Sang Saka Biru memburu gelaran keempat berturut-turut sejak 2023. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top