PRN Johor: Selain empat DUN, BN Pahang perluas gerak kerja di kawasan Felda

PRN Johor: Selain empat DUN, BN Pahang perluas gerak kerja di kawasan Felda


KUANTAN: Barisan Nasional (BN) Pahang memperluaskan gerak kerja pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila turut diberikan tanggungjawab menggerakkan jentera kempen di kawasan Felda di negeri itu selain empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengerusinya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau akan turun ke kawasan Felda di Segamat pada Khamis ini bagi membantu memperkukuh gerak kerja jentera parti.

Menurutnya, sebelum ini BN Pahang dipertanggungjawabkan menguruskan kempen di Parlimen Tanjung Piai dan Pontian yang membabitkan empat DUN iaitu Pekan Nanas, Pulai Sebatang, Benut dan Kukup.

“Pahang turut membantu dalam PRN Johor apabila diberi tanggungjawab menjaga Tanjung Piai dan Pontian melibatkan empat DUN. Saya juga diberi kepercayaan menjaga kawasan Felda. Insya-Allah hari Khamis saya akan pergi ke kawasan Felda di sebelah Segamat untuk membantu jentera parti di sana,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Guru Pahang 1st di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata, beliau berada di Johor selama tiga hari bermula hari penamaan calon dan mendapati gerak kerja jentera BN berada pada tahap yang baik.

Katanya, semangat jentera di kawasan yang dipertanggungjawabkan kepada Pahang juga tinggi, selain mendapat sokongan yang menggalakkan daripada masyarakat setempat. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top