ATM pamer keupayaan tempur menerusi LKT 2026

ATM pamer keupayaan tempur menerusi LKT 2026


TAMPIN: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempamerkan keupayaan sistem persenjataan serta memperkukuh kesiapsiagaan tempur dalam operasi pelbagai domain melibatkan aset darat, laut dan udara menerusi Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2026.

Latihan berskala besar itu melibatkan kira-kira 2,500 pegawai dan anggota daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM serta Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) yang berlangsung dari 19 hingga 30 Jun di Lapang Sasar Gemas, Kem Syed Sirajuddin di sini.

Cawangan Komunikasi Strategik (G2) Tentera Darat berkata, LKT 2026 turut memberi pendedahan kepada penuntut Kursus Pemerintahan dan Staf Malaysia Bersama (KPSMB) mengenai konsep Combined Arms Manoeuvre selain mempamerkan keupayaan sistem persenjataan ATM melibatkan operasi bersepadu aset darat, laut dan udara dari aspek manuver, kuasa tembakan serta keberkesanan impak terhadap sasaran.

Menurutnya, latihan itu turut bertujuan melatih dan mengekalkan kompetensi anggota dalam pelaksanaan latihan tembakan peluru hidup berskala besar di samping menguji Manual Panduan Pengurusan dan Pelaksanaan LKT 2026 di lapangan.

“Latihan ini menjadi platform penting bagi memperkukuh kesiapsiagaan tempur ATM melalui pengoperasian aset-aset strategik secara bersepadu dalam persekitaran operasi sebenar.

“Pelaksanaan LKT 2026 turut membuktikan setiap pelaburan pertahanan negara diterjemahkan kepada peningkatan keupayaan operasi dan kesiapsiagaan tempur ATM, sekali gus memperkukuh keupayaan angkatan dalam mempertahankan kedaulatan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Latihan berkenaan turut disaksikan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md. Othman. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top