MOTAC peruntuk RM100,000 jayakan Bulan Muzik Ipoh

MOTAC peruntuk RM100,000 jayakan Bulan Muzik Ipoh

MOTAC peruntuk RM100,000 jayakan Bulan Muzik Ipoh


IPOH: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memperuntukkan RM100,000 bagi menjayakan sambutan Bulan Muzik Ipoh yang berlangsung sepanjang Julai hingga pertengahan Ogos.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, kerajaan negeri turut menyalurkan kira-kira RM50,000 bagi menjayakan Bulan Muzik Bandaraya Ipoh yang bertujuan memperkukuh pembangunan pelancongan berasaskan seni dan budaya di Perak.

Menurutnya, antara program utama yang menerima sokongan menerusi peruntukan itu ialah Harmony Music Cup 2026 yang memasuki penganjuran kali ketiga.

“Pada tahun pertama, pertandingan ini hanya membabitkan peserta dari Malaysia, kebanyakannya dari Perak.

“Kini ia berkembang dengan penyertaan antarabangsa dari China, Taiwan serta beberapa negara lain selain menampilkan juri dari Romania dan Shanghai,” katanya pada pelancaran Bulan Muzik Bandaraya Ipoh di sini hari ini.

Beliau berkata, Harmony Music Cup merupakan antara acara utama sempena Bulan Muzik yang berlangsung dari Julai hingga pertengahan Ogos bersempena pengiktirafan Ipoh sebagai Bandar Muzik.

Katanya, pertandingan itu menghimpunkan kira-kira 100 pasukan yang mempertandingkan pelbagai genre muzik termasuk muzik Barat, Melayu, Cina dan India, selain persembahan tradisional.

Ujarnya, penganjuran itu turut mencerminkan semangat Malaysia MADANI menerusi penyertaan penggiat seni daripada pelbagai budaya dan latar belakang.

“Pada acara kemuncak nanti, kita akan mengadakan konsert yang menghimpunkan pemenang pertandingan bersama wakil dari Nanning, China yang merupakan bandar raya kembar Ipoh bagi mengeratkan hubungan kebudayaan antara kedua-dua negara.

“Peruntukan MOTAC ini digunakan bagi menjayakan pelbagai program sepanjang Bulan Muzik, sekali gus memperkasa seni budaya dan merancakkan sektor pelancongan di Perak,” katanya. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top