Kematian anak gajah: Laluan selamat perlu disegerakan

Kematian anak gajah: Laluan selamat perlu disegerakan

Kematian anak gajah: Laluan selamat perlu disegerakan


am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia menggesa pelaksanaan laluan selamat hidupan liar di kawasan berisiko disegerakan susulan kematian seekor anak gajah dilanggar di Jalan Felda Nitar, Mersing, kelmarin.

WWF Malaysia dalam kenyataan berkata jalan raya saban tahun menjadi perangkap maut kepada hidupan liar dan pengguna jalan raya.

Katanya, penyelesaian seperti koridor hidupan liar khusus, terowong mesra alam dan jejambat perlu dilaksanakan dengan lebih pantas.

“Struktur ini membolehkan haiwan melintas jalan dengan selamat dan penting untuk mengekalkan laluan migrasi gajah.

“Langkah itu juga penting bagi memperkayakan habitat serta meningkatkan kesalinghubungan hutan,” katanya.

WWF Malaysia berkata, kejadian terbaru itu yang turut menyebabkan pemandu kenderaan cedera parah dan kerosakan harta benda.

“Kejadian itu sekali lagi menyaksikan seekor ibu gajah berada di sisi anaknya yang cedera parah sebelum tindakan diambil pihak berkuasa.

“Insiden ini mengingatkan kembali tragedi Hari Ibu tahun lalu, apabila seekor anak gajah mati dilanggar lori di Lebuhraya Gerik-Jeli yang mencetuskan kesedihan rakyat Malaysia.

“Ini bukan kejadian terpencil, sebaliknya sebahagian daripada corak kejadian yang amat membimbangkan,” katanya.

Bagi mencegah insiden sama daripada terus berulang, katanya WWF kekal aktif dalam menggerakkan penyelesaian jangka panjang berhubung isu itu.

Katanya, selepas tragedi tahun lalu, WWF Malaysia bersama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) memulakan inisiatif meja bulat mengenai jalan raya lebih selamat untuk manusia dan hidupan liar pada Julai 2025.

Menurutnya, inisiatif pelbagai pihak berkepentingan itu bertujuan mencari penyelesaian lebih menyeluruh bagi mengurangkan risiko kemalangan membabitkan hidupan liar.

“Perlindungan hidupan liar adalah tanggungjawab bersama, manakala pengguna jalan raya turut memainkan peranan penting.

“Pemandu perlu lebih berhati-hati ketika melalui kawasan lintasan hidupan liar dengan mematuhi had laju, berwaspada dan memberi perhatian kepada papan tanda lintasan haiwan,” katanya.

Menurutnya, kewaspadaan itu amat penting terutama pada awal pagi dan senja apabila pergerakan haiwan berada pada tahap paling tinggi.

“Memandu secara melulu atau melebihi had laju di kawasan berisiko tinggi meletakkan nyawa manusia dan hidupan liar dalam bahaya yang tidak sepatutnya berlaku.

“Had laju hanya berkesan jika dikuatkuasakan secara konsisten, manakala penguatkuasaan lebih tegas terhadap peraturan jalan raya di kawasan berisiko tinggi juga amat penting,” katanya.

Selain itu, katanya pihak berkuasa perlu mengenakan hukuman tegas terhadap kesalahan memandu laju selain memperluas pemasangan papan tanda lintasan hidupan liar, langkah pengurangan kelajuan dan sistem amaran pintar.

Media sebelum ini melaporkan seekor anak gajah mati dilanggar kenderaan, manakala ibunya enggan berganjak selama tujuh jam di Jalan Felda Nitar, Mersing, awal pagi kelmarin.

Menerusi video tular di media sosial, gajah betina itu kelihatan enggan meninggalkan anaknya yang mati selepas dilanggar sebuah Perodua Bezza dalam kejadian pada 2.28 pagi.

PERHILITAN Johor mengesahkan seekor anak gajah betina dianggarkan berusia lima tahun mati akibat kemalangan itu.

Pemandu kereta dilaporkan tersepit dan cedera pada kaki apabila kereta dipandunya terbabas dan terjatuh ke gaung sedalam lima meter.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top