Insiden anak gajah mati: NRES laksana pelbagai langkah mitigasi konflik manusia-gajah

Insiden anak gajah mati: NRES laksana pelbagai langkah mitigasi konflik manusia-gajah

Insiden anak gajah mati: NRES laksana pelbagai langkah mitigasi konflik manusia-gajah


Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menzahirkan rasa dukacita terhadap insiden seekor anak gajah yang mati selepas dilanggar sebuah kenderaan di Jalan Felda Nitar, Mersing, Johor, awal pagi semalam.

Tindakan segera telah diambil

Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata kementerian memahami reaksi serta emosi masyarakat susulan kejadian itu dan memaklumkan tindakan segera bagi menguruskan insiden berkenaan telah dilaksanakan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

“NRES memahami reaksi serta emosi masyarakat dan ingin memaklumkan, tindakan segera dalam menguruskan anak gajah ini telah dilaksanakan PERHILITAN. Kementerian memandang serius setiap insiden melibatkan hidupan liar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, konflik antara manusia dan hidupan liar bukanlah isu yang berlaku secara berasingan, sebaliknya berpunca daripada pelbagai faktor yang saling berkait, termasuk peningkatan populasi manusia dan gajah.

Menurutnya, pengecilan, pemecahan serta kemerosotan habitat semula jadi akibat pembukaan tanah, pembangunan infrastruktur, aktiviti pertanian dan perubahan guna tanah telah mengganggu laluan tradisional pergerakan gajah, sekali gus meningkatkan risiko pertembungan dengan manusia.

Selain itu, katanya, tanaman pertanian seperti kelapa sawit, pisang dan tebu yang menjadi sumber makanan mudah turut menarik gajah keluar daripada habitat asal, sekali gus menyebabkan konflik semakin kerap berlaku.

Arthur berkata, data PERHILITAN menunjukkan sebanyak 76,361 aduan konflik hidupan liar direkodkan di seluruh negara dari tahun 2021 hingga Mei 2026, membabitkan anggaran kerugian sebanyak RM58.7 juta.

Sehubungan itu, beliau berkata NRES sedang melaksanakan pelbagai langkah mitigasi bagi mengurangkan konflik manusia dan gajah, termasuk menerusi Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT).

Foto: Janaan AI

Antara inisiatif yang sedang dilaksanakan ialah pembinaan Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) bagi melindungi kawasan berisiko tinggi, selain pembangunan Santuari Gajah Johor (JES) secara berfasa bagi mengurus habitat gajah dengan lebih sistematik.

“Bagi mengurangkan pergerakan gajah ke kawasan penempatan dan pertanian, di sebalik tiga food bank sedia ada, NRES merancang membina tambahan 21 food bank di Johor,” kongsinya.

Beliau berkata, kerajaan turut menyediakan inisiatif Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman (BKHT) bagi membantu pemilik yang mengalami kerugian akibat serangan hidupan liar, termasuk gajah.

Artikel lain: Isu DAK: NRES pandang serius! Gesa Dara, Amoi, Kelat dibawa pulang dari Jepun

Dalam masa sama, katanya, kementerian terus memperkukuh usaha mitigasi menerusi operasi translokasi gajah, pembangunan koridor hidupan liar, penyelidikan serta pelaksanaan National Elephant Conservation Action Plan (NECAP) 2.0 bagi memastikan pengurusan konflik manusia dan hidupan liar dilaksanakan secara lebih berkesan serta mampan.

Mengulas lanjut, Arthur menyeru semua pihak supaya tidak melihat tragedi kematian anak gajah itu sebagai satu insiden terpencil, sebaliknya menjadikannya peringatan tentang keperluan mengimbangi pembangunan, keselamatan manusia dan pemuliharaan hidupan liar.

“NRES menyeru semua pihak tidak melihat insiden ini sebagai isu terpisah, sebaliknya keseimbangan antara pembangunan, keselamatan manusia dan pemuliharaan hidupan liar perlu terus diperkukuh melalui kerjasama semua pihak,” tambahnya lagi.





Source link

OR

Scroll to Top