Lelaki berusia lebih green flag

Lelaki berusia lebih green flag


am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kelebihan memiliki ciri-ciri lelaki green flag seperti matang, penyayang dan stabil daripada segi emosi menyebabkan lelaki berusia kini semakin menjadi pilihan wanita muda untuk dijadikan suami meskipun mempunyai jurang usia yang besar.

Pakar Kaunseling Keluarga Hushim Salleh berkata, faktor kestabilan kewangan turut menjadi antara sebab wanita berasa lebih yakin untuk membina kehidupan bersama pasangan lebih berusia.

“Sepanjang mengendalikan klinik kaunseling, ramai wanita berkongsi pengalaman memilih lelaki yang lebih berusia sebagai suami.

“Keputusan ini (pilih lelaki berusia sebagai suami) selepas kecewa menjalinkan hubungan dengan pasangan sebaya atau lebih muda,” katanya.

Menurutnya, ketika bercinta segalanya kelihatan indah, namun sikap dan keperibadian sebenar seseorang hanya terserlah apabila berkahwin atau hubungan menjadi rapat.

“Sebab itu Islam menggalakkan memilih pasangan yang sekufu iaitu serasi daripada segi cara berfikir, kedudukan ekonomi, latar sosial serta nilai kehidupan.

“Namun paling penting ialah persefahaman dan kemampuan untuk saling memahami dalam menjalani kehidupan berumah tangga.

“Perbezaan usia bukanlah penghalang untuk membina perkahwinan bahagia, sama ada bersama pasangan sebaya atau lebih berusia,” katanya.

‘Hubungan lebih stabil bila pasangan saling menghormati’

Cinta tidak mengenal usia dan sesungguhnya jodoh itu adalah rahsia.

Apa yang nyata, lelaki berusia kini dikatakan semakin menjadi idaman ramai wanita muda di negara ini.

Perubahan ‘selera’ itu bukan disebabkan kedudukan ekonomi yang stabil semata-mata tetapi juga kerana lelaki berusia dikatakan lebih matang, pandai ambil hati dan romantik.

Selain itu, lelaki berusia juga tidak mudah cemburu buta dan lebih terbuka dalam berkomunikasi.

Menurut Kaunselor Perkahwinan, Mohd Redzuan Zamberi, usia hanyalah faktor tambahan kerana kejayaan rumah tangga lebih banyak bergantung kepada komunikasi, kematangan, keserasian dan usaha kedua belah pihak.

Katanya, ada pasangan berbeza usia sangat besar tetapi hidup bahagia dan ada juga pasangan sebaya namun gagal mempertahankan rumah tangga.

“Apa yang lebih penting ialah keserasian nilai hidup, kematangan emosi, komunikasi yang sihat, keupayaan menyesuaikan diri dan memiliki tujuan perkahwinan yang jelas.

“Hubungan akan lebih stabil apabila pasangan saling menghormati, memahami bahasa emosi pasangan dan mampu menyelesaikan konflik secara matang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top