SKUAD hoki veteran negara menerima suntikan dana berjumlah RM1.36 juta sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Piala Dunia Hoki Masters 2026 di Belanda dan Belgium dari 22 Julai hingga 16 Ogos depan.
Presiden Persatuan Hoki Veteran Malaysia Sultan Ahmad Shah (SAS), Tengku Arif Temenggong Tengku Fahad Mu’adzam Shah berkata, dana yang dikumpulkan menerusi sumbangan pelbagai pihak itu akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi menampung perbelanjaan kontinjen negara yang akan beraksi dalam lima kategori umur.
Katanya, dana itu akan digunakan bagi menampung kos penginapan, perjalanan serta persiapan menghadapi kejohanan, selain membantu pemain veteran yang memerlukan sokongan kewangan untuk menyertai pertandingan itu.
“Kutipan dana ini akan digunakan bagi menampung kos penginapan, perjalanan serta persiapan menghadapi kejohanan dan acara akan datang.
“Pada masa yang sama, kami juga berharap dapat menaja bekas pemain kebangsaan terbaik yang mungkin berdepan kekangan kewangan supaya mereka dapat kembali mewakili skuad hoki veteran Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Santapan Minum Petang Diraja sempena pengumuman kutipan dana bagi kejohanan itu, di sini, pada Isnin.
Majlis berkenaan diserikan dengan keberangkatan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, selaku penaung SAS.
Bagi saingan kategori 40 tahun, perlawanan akan berlangsung di HC Schiedam, Schiedam, Belanda, manakala kategori 45 tahun dan 50 tahun akan beraksi di HC Rotterdam, Belanda, dari 22 Julai hingga 1 Ogos.
Sementara itu, kategori 60 tahun dijadualkan berlangsung di HC Olympia, Brasschaat, Antwerp, Belgium, manakala kategori 65 tahun akan beraksi di BHV Push, Breda, Belanda, dari 6 hingga 16 Ogos.
Kejohanan Piala Dunia Hoki Masters merupakan kejohanan paling berprestij bagi pemain hoki veteran dunia dan dianjurkan setiap dua tahun.
Edisi 2026 penganjuran kali kelapan sejak Hoki Masters Dunia ditubuhkan pada 2012 hasil penggabungan Persatuan Hoki Masters Antarabangsa (IMHA) dan Persatuan Grand Masters Dunia (WGMA), yang menghimpunkan pasukan terbaik dunia dalam pelbagai kategori umur.






