PEMAIN dan barisan kejurulatihan skuad kebangsaan Mexico memulangkan koleksi jam tangan mewah bernilai kira-kira AS$1 juta (RM4.2 juta) yang dihadiahkan oleh YouTuber terkenal Amerika Syarikat, Stevewilldoit bagi mematuhi peraturan ketat FIFA sepanjang Piala Dunia 2026.
Keputusan itu dibuat secara bersama selepas Persekutuan Bolasepak Mexico (FMF) menjelaskan bahawa penerimaan hadiah berkenaan boleh bercanggah dengan Artikel 21 Kod Etika FIFA yang hanya membenarkan hadiah bernilai simbolik atau minimum.
Kod etika itu turut melarang sebarang pemberian yang boleh dianggap sebagai cubaan mempengaruhi pemain, pegawai atau mana-mana individu yang terbabit dalam kejohanan.
Stevewilldoit atau nama sebenarnya Stephen Deleonardis, menghadiahkan jam tangan tersebut kepada setiap pemain dan pegawai skuad Mexico sehari sebelum mereka menewaskan Ecuador 2-0 untuk mara ke pusingan 16 terbaik.
Menurut Deleonardis, nilai keseluruhan koleksi itu mencecah AS$1 juta, dengan setiap jam tangan dianggarkan bernilai antara AS$30,000 hingga AS$90,000.
Beliau berkata hadiah berkenaan dibiayai daripada keuntungan pertaruhan AS$2 juta yang dibuat ke atas kemenangan Mexico ke atas Ecuador.
“Saya cintakan Mexico dan rakyatnya. Saya hanya mahu menghadiahkan sesuatu kepada pasukan ini,” katanya dalam video yang dimuat naik di YouTube.
Bagaimanapun, beberapa hari kemudian, FMF mengesahkan semua jam tangan berkenaan dipulangkan kepada Deleonardis atas persetujuan bersama pemain.
“Skuad kebangsaan memaklumkan bahawa semua pemain membuat keputusan secara bersama untuk memulangkan jam tangan yang dihadiahkan oleh pencipta kandungan, Stevewilldoit,” menurut kenyataan rasmi badan itu di platform X.
Deleonardis kemudian memaklumkan beliau akan menjelaskan perkara tersebut menerusi video terbaharunya, sambil menyatakan tetap menghormati keputusan skuad Mexico dan menyifatkan tindakannya sebelum ini sebagai tanda penghargaan terhadap negara itu.






