Seattle: Jurulatih Belgium, Rudi Garcia menegaskan kemenangan bergaya 4-1 ke atas Amerika Syarikat (AS) pada aksi pusingan 16 terakhir Piala Dunia pagi tadi tidak banyak dipengaruhi kontroversi membabitkan keputusan FIFA menggantung pelaksanaan hukuman ke atas Folarin Balogun.
Kehadiran penyerang AS itu dalam kesebelasan utama mencetuskan perdebatan selepas FIFA menggantung pelaksanaan hukuman penggantungan automatik satu perlawanan yang diterimanya susulan kad merah ketika menentang Bosnia-Herzegovina pada pusingan 32 terakhir.
Namun Garcia berkata pemain Belgium tidak menjadikan isu itu sebagai pembakar semangat atau gangguan menjelang perlawanan.
“Tidak, langsung tidak perlu,” kata Garcia pada sidang media selepas perlawanan apabila ditanya sama ada beliau menggunakan kontroversi itu untuk membakar semangat pemainnya menentang tuan rumah bersama kejohanan.
“Apa yang paling penting bagi kami adalah pelan permainan. Kami mahu menguasai perlawanan, mengelak tekanan mereka dan bermain lebih tinggi di tengah padang.
“Kami bermain dengan penuh kawalan, semangat dan komitmen. Ia malam yang hebat buat kami serta kelayakan yang cukup bermakna ke suku akhir,” katanya.
Kad merah yang diterima Balogun sebelum ini membawa hukuman penggantungan automatik satu perlawanan dan pada awalnya menyebabkan dia tidak layak beraksi menentang Belgium.
Bagaimanapun, FIFA menggantung pelaksanaan hukuman itu untuk tempoh percubaan selama setahun tanpa membatalkan kad merah berkenaan. Presiden AS, Donald Trump turut mengakui beliau meminta kes itu dikaji semula.
Garcia berkata skuad Belgium sentiasa dimaklumkan mengenai perkembangan isu Balogun yang mencetuskan kemarahan Persekutuan Bolasepak Belgium serta menjadi kontroversi di peringkat antarabangsa.
“Kami memaklumkan kepada mereka mengenai apa yang berlaku. Kumpulan ini amat matang. Kami mempunyai pemain berpengaruh yang membantu kami mengharungi situasi seperti itu.
“Saya beritahu mereka perkara paling penting adalah pasukan kami sendiri. Kami perlu melaksanakan prinsip permainan sama ada ketika menyerang atau bertahan.
“Kami juga meneliti kekuatan dan kelemahan lawan, tetapi tidak lebih daripada itu. Kami tidak menyesuaikan permainan mengikut lawan. Itu bukan gaya saya sebagai jurulatih,” katanya.
Garcia yang sebelum ini mengkritik keputusan FIFA dan menyamakannya dengan gurauan Hari April Fool berkata Balogun menemuinya selepas perlawanan.
“Dia datang bercakap dengan saya. Saya sangat menghargainya.
“Bukan salah dia. Dia bukan pihak yang patut dipersalahkan. Itu yang saya katakan kepadanya. Saya benar-benar menghargai tindakannya datang berjumpa saya,” kata Garcia.
Belgium akan menentang Sepanyol di Los Angeles awal pagi Sabtu ini bagi aksi suku akhir.
Namun mereka mungkin kehilangan pemain tengah, Amadou Onana yang mengalami kecederaan lutut dan terpaksa meninggalkan padang pada babak pertama.
Onana kemudian dilihat menggunakan tongkat dan Garcia mengakui kecederaan itu kelihatan serius serta berpotensi menamatkan kempen pemain berkenaan di Piala Dunia.
“Kami bersimpati dengannya, tetapi sekarang kami sudah berada di suku akhir dan mahu terus mara ke separuh akhir,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






