Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menyifatkan dakwaan kononnya orang Melayu akan terancam jika bukan UMNO-Barisan Nasional (BN) mentadbir Negeri Sembilan sebagai taktik politik lapuk yang tidak lagi relevan.
Di Negeri Sembilan semua ok sahaja
Memetik laporan daripada Sinar Harian, beliau menegaskan kerajaan negeri yang diterajui Pakatan Harapan (PH) sejak 2018 terus melaksanakan dasar yang menjaga kepentingan semua rakyat termasuk orang Melayu.
“Selalu kata Melayu terancam, ini taktik lama. Apa yang terancam? Di Negeri Sembilan semuanya ok sahaja.
Menteri Besar tetap orang Melayu dan program serta dasar kerajaan yang menjaga kepentingan rakyat termasuk orang Melayu terus dilaksanakan sejak Pakatan Harapan (PH) mentadbir negeri ini pada 2018,” katanya ditemui pemberita selepas program perasmian Celik Madani dan Dharma Madani Zon Selatan.

Beliau berkata demikian mengulas ucapan Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada Mesyuarat Pemuda dan Puteri UMNO Seremban Ahad lalu yang dilaporkan mendakwa hanya UMNO-BN mampu menjaga kepentingan orang Melayu serta menggesa pengundi memberi sokongan kepada gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
KJ boleh minta sendiri pandangan masyarakat Melayu
Mengulas lanjut, Anthony meminta bekas Ahli Parlimen Rembau itu mendapatkan sendiri pandangan masyarakat Melayu di Negeri Sembilan sama ada mereka benar-benar berdepan ancaman seperti yang didakwa.
Menurutnya, DAP sering dijadikan sasaran pelbagai tuduhan walaupun dakwaan tersebut tidak berasas.
“Apa yang orang Melayu terancam di Negeri Sembilan? Tanya orang Melayu di negeri ini, mungkin beliau(Khairy) tidak tahu kerana sudah lama tinggalkan Rembau.
“Biasalah semuanya salah DAP. Yang saya pelik pemimpin-pemimpin yang mainkan sentimen kaum ini, tidak ada skrip atau alasan lain ke selain daripada menyalahkan DAP?,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan itu menjelaskan setiap parti komponen dalam Kerajaan Madani bebas mengemukakan pandangan, namun segala keputusan dibuat secara kolektif melalui persetujuan bersama dan bukannya mengikut telunjuk mana-mana pihak.
“Sudah tentu kita berbincang apa sahaja dalam gabungan politik dan memberikan pandangan. Tidak akan kita nak duduk membisu saja.
“Kita bagi pandangan, UMNO juga bagi pandangan tetapi akhirnya perdana menteri selaku pengerusi Jemaah Menteri akan membuat pertimbangan kesemua pandangan dan membuat keputusan yang adil, bukannya ikut telunjuk mana-mana pihak, begitu juga Menteri Besar di Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau turut berharap Khairy dapat membawa pendekatan politik yang lebih progresif dan meninggalkan sentimen perkauman sebagai modal dalam berpolitik.
Sumber: Sinar Harian (Syamilah Zulkifli)






