Pedersen ungguli peringkat keempat, Traeen ambil alih pendahulu

Pedersen ungguli peringkat keempat, Traeen ambil alih pendahulu

Pedersen ungguli peringkat keempat, Traeen ambil alih pendahulu


Foix: Pelumba Norway, Torstein Traeen merampas jersi kuning Tour de France (TdF) selepas tamat peringkat keempat, ketika rakan senegaranya terus menikmati minggu gemilang dalam sukan susulan kejayaan skuad bola sepak Norway menyingkirkan Brazil di Piala Dunia.

Sementara itu, pelumba Denmark, Mads Pedersen muncul juara peringkat keempat sejauh 182 kilometer (km) dari Carcassonne ke Foix menerusi pecutan bertenaga dalam cuaca yang mencecah lebih 40 darjah Celsius.

Bekas juara dunia 2019 itu menewaskan rakan sepasukan Lidl-Trek, Quinn Simmons di tempat kedua, manakala Raul Garcia dari Sepanyol melengkapkan podium.

Kemenangan itu adalah yang ketiga buat Pedersen di TdF selepas kejayaan pada edisi 2022 dan 2023, sekali gus membolehkannya merampas jersi hijau selaku pendahulu pungutan mata.

Traeen pula memulakan hari lebih lima minit di belakang juara bertahan, Tadej Pogacar, namun menyertai kelompok pemisah yang dibentuk kira-kira 25km selepas perlumbaan bermula.

Kelompok itu akhirnya mengecil kepada 10 pelumba pada pendakian terakhir sebelum Traeen menamatkan saingan di tempat kelapan.

Dengan kelompok utama tiba lebih 13 minit di belakang pemenang peringkat, pelumba berusia 30 tahun itu kini mendahului kedudukan keseluruhan dengan kelebihan 28 saat ke atas pelumba Amerika Syarikat, Sean Quinn.

Rakan sepasukan Pedersen, Mathias Vacek pula melonjak ke tangga ketiga keseluruhan dengan ketinggalan 3 minit 50 saat, selain kini menyarung jersi putih sebagai pendahulu pelumba muda terbaik.

Pogacar jatuh ke tangga keempat keseluruhan, berkongsi catatan masa dengan pencabar utamanya, Jonas Vingegaard.

Traeen kini menjadi pelumba Norway ketiga menyarung jersi kuning TdF selepas Thor Hushovd dan Alexander Kristoff.

Sebelum ini, dia pernah memimpin perlumbaan Grand Tour apabila menyarung jersi merah selama empat hari di Vuelta a Espana tahun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top