Nyawa jadi taruhan! Kes kematian akibat pemandu mabuk kekal rendah, bawah 0.2 peratus

Nyawa jadi taruhan! Kes kematian akibat pemandu mabuk kekal rendah, bawah 0.2 peratus


Kes kematian akibat kemalangan jalan raya yang berpunca daripada pemanduan di bawah pengaruh alkohol kekal merekodkan kadar rendah iaitu bawah 0.2 peratus daripada keseluruhan kematian akibat kemalangan jalan raya di Malaysia bagi tempoh 2023 hingga 2025.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 13 kematian akibat kemalangan membabitkan pemandu di bawah pengaruh alkohol direkodkan pada 2023, bersamaan 0.20 peratus daripada keseluruhan 6,473 kematian jalan raya.

Menurutnya, jumlah itu menurun kepada 12 kematian pada 2024 atau 0.19 peratus daripada 6,464 kematian jalan raya, sebelum meningkat sedikit kepada 13 kematian pada 2025, iaitu 0.20 peratus daripada keseluruhan 6,537 kematian.

“Bagi 2022, sebanyak 14 kematian direkodkan melibatkan kemalangan di bawah pengaruh alkohol, iaitu 0.23 peratus daripada keseluruhan 6,080 kematian jalan raya,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ganabatirau Veraman (PH-Klang) mengenai jumlah kemalangan jalan raya dan kematian mengikut jenis kenderaan bagi tempoh 2023 hingga 2026, termasuk peratusan kes yang berpunca daripada pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Anthony berkata, seramai 3,299 individu ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah pada 2023, diikuti 2,468 tangkapan pada 2024, 1,820 tangkapan pada 2025 dan 912 tangkapan sehingga 31 Mei tahun ini.

Artikel lain: Kurang 0.5% Kemalangan Ragut Nyawa Berpunca Pemandu Mabuk – Anthony Loke

Dalam tempoh sama, kemalangan membabitkan pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah merekodkan 48 kemalangan maut pada 2023, meningkat kepada 92 kes pada 2024 sebelum menurun kepada 77 kes pada 2025. Sebanyak 48 kes pula direkodkan sehingga 31 Mei 2026.

Sementara itu, jumlah keseluruhan kemalangan jalan raya negara menunjukkan peningkatan dengan 739,877 kes direkodkan pada 2023, diikuti 778,159 kes pada 2024 dan 790,614 kes pada 2025.

Bagi tempoh Januari hingga April tahun ini, sebanyak 273,668 kes direkodkan.

Dalam perkembangan sama, kerajaan sedang meneliti cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi membolehkan mahkamah memerintahkan pesalah yang disabitkan atas kesalahan serius membayar pampasan kepada mangsa kemalangan atau waris sah.

Anthony berkata, kerajaan juga akan memperkukuh aspek penguatkuasaan dan pencegahan menerusi Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA), selain meneliti penambahbaikan terhadap Akta 333 supaya hukuman dikenakan lebih setimpal serta memberi kesan pencegahan berkesan.





Source link

OR

Scroll to Top