PARLIMEN: RM42.5 Bilion Sudah Dibayar, Negara Masih Tanggung RM20.1 Bilion Hutang 1MDB

PARLIMEN: RM42.5 Bilion Sudah Dibayar, Negara Masih Tanggung RM20.1 Bilion Hutang 1MDB


Skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terus meninggalkan kesan besar terhadap kewangan negara apabila kerajaan telah membayar RM42.5 bilion bagi melunaskan hutang dan komitmen syarikat itu, namun masih perlu menanggung baki RM20.1 bilion sekiranya tiada lagi pemulangan dana pada masa depan.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, sehingga 30 Jun lalu, pembayaran RM42.5 bilion itu meliputi bayaran prinsipal, faedah, kos guaman, kos operasi serta komitmen lain berkaitan 1MDB.

Beliau berkata, kerajaan juga masih menanggung Nota Jangka Sederhana Islam (Sukuk Islamic Medium-Term Notes) yang dijamin kerajaan berjumlah RM8.9 bilion, melibatkan bayaran prinsipal sebanyak RM5 bilion dan faedah RM3.9 bilion yang akan matang pada 2039.

“Ini bermakna secara keseluruhan, tanggungan 1MDB yang telah dan masih perlu ditanggung oleh kerajaan adalah sebanyak RM51.4 bilion. Setakat ini, kerajaan telah berjaya mendapatkan semula dana berkaitan 1MDB berjumlah RM31.3 bilion. Sekiranya tiada lagi pemulangan dana pada masa hadapan, kerajaan masih perlu menanggung baki sebanyak RM20.1 bilion daripada keseluruhan obligasi tersebut,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) yang meminta Kementerian Kewangan menyatakan jumlah keseluruhan hutang 1MDB yang ditanggung Kerajaan Persekutuan serta jumlah yang telah dibayar bagi melunaskan komitmen berkenaan.

Mengulas kesan skandal itu terhadap kedudukan fiskal negara, Liew berkata sebanyak RM48.7 bilion daripada Perbelanjaan Mengurus (OE) dan Perbelanjaan Pembangunan (DE) yang diluluskan menerusi belanjawan tahunan telah digunakan untuk membiayai obligasi kewangan 1MDB sejak 2017.

Katanya, sejak Kerajaan MADANI mengambil alih pentadbiran pada Mac 2023, sebanyak RM13 bilion daripada peruntukan pembangunan terpaksa digunakan bagi melunaskan bon 1MDB bernilai AS$3 bilion yang dijamin kerajaan, bersamaan kira-kira 13.1 peratus daripada keseluruhan peruntukan pembangunan dalam Belanjawan 2023.

Menurut beliau, skandal 1MDB turut mengakibatkan empat implikasi besar kepada negara, termasuk kerajaan terpaksa menanggung obligasi kewangan bernilai RM20.1 bilion, kehilangan peluang menggunakan dana itu bagi tujuan pembangunan lain, kesukaran mendapatkan semula keseluruhan wang yang terlibat serta menjejaskan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa.

Bagi mengelakkan skandal seumpama itu berulang, beliau berkata kerajaan telah melaksanakan beberapa pembaharuan termasuk menggubal Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023, meminda Akta Audit 1957 bagi memperluaskan pendekatan follow the public money, selain menggubal Akta Perolehan Kerajaan dan Akta Syarikat Milik Kerajaan.

Sementara itu, Liew turut menafikan dakwaan kononnya kerajaan mengadakan rundingan pakej pembayaran semula kes 1MDB bersama ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low serta delegasi dari China.

“Saya menafikan tuduhan terbabit,” katanya ringkas ketika menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar), sekali gus menyangkal laporan Sarawak Report dan Wall Street Journal (WSJ) berhubung dakwaan berkenaan.






Source link

OR

Scroll to Top