Haaland sedia hukum negara kelahiran

Haaland sedia hukum negara kelahiran

Haaland sedia hukum negara kelahiran


Miami: Erling Haaland mengakui pertemuan menentang England, negara tempat kelahirannya pada suku akhir Piala Dunia cukup istimewa ketika dia berusaha membantu Norway meneruskan kemaraan bersejarah ke separuh akhir.

Dalam kejohanan antarabangsa utama pertamanya, penyerang Manchester City itu membawa negaranya ke kelompok lapan terbaik menerusi tujuh gol dalam empat penampilan, termasuk dua jaringan ketika menewaskan Brazil pada pusingan 16 terbaik.

Haaland dilahirkan di England ketika bapanya, Alf Inge Haaland beraksi bersama Leeds United dan dia juga menghabiskan empat musim terakhir bersama City sehingga muncul antara bintang terbesar Liga Perdana Inggeris (EPL).

“Sudah tentu ia perlawanan yang istimewa. Bagi saya, ia sangat istimewa kerana saya bermain di England dan dilahirkan di England, selain berdepan rakan sepasukan sendiri.

“Ia perlawanan yang menarik dan saya tidak sabar untuk mengharunginya,” kata Haaland kepada wartawan di Miami.

Dalam penampilan pertama Norway di Piala Dunia selepas 28 tahun, mereka berjaya melangkaui semua jangkaan dengan Haaland memainkan peranan besar menerusi ketajamannya di depan gawang.

“Sejujurnya saya tidak menjangkakannya. Berada di suku akhir Piala Dunia bersama Norway agak mengejutkan walaupun bagi diri saya sendiri.

“Bermain menentang Brazil sahaja sudah cukup luar biasa buat rakyat Norway dan kini kami menewaskan mereka sebelum berdepan England di suku akhir Piala Dunia. Ia sesuatu yang cukup istimewa.

“Jika anda melihat suasana di Norway sekarang, ini bukan sesuatu yang biasa bagi kami, jadi ia sangat istimewa.”

Berbeza dengan Norway, England mara ke suku akhir Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut, namun masih memburu kejuaraan utama pertama dalam tempoh 60 tahun.

Haaland turut cuba meletakkan tekanan kepada England yang dianggap antara pasukan pilihan sebelum kejohanan bermula.

Keempat-empat pasukan pilihan utama masih berada di landasan untuk mara ke separuh akhir dengan England berpotensi bertemu juara bertahan Argentina, manakala Perancis dan Sepanyol boleh bertembung dalam satu lagi aksi separuh akhir.

“Saya fikir terdapat beberapa pasukan pilihan yang jelas dan England adalah salah satunya.

“Saya rasa anda semua patut meletakkan segala tekanan kepada pemain England,” katanya.

Aksi cemerlang Haaland turut menjadikannya bintang popular di Amerika Syarikat (AS) sepanjang beberapa minggu kebelakangan ini.

Selain ketajamannya menjaringkan gol, personalitinya yang ceria turut menarik perhatian peminat.

Beberapa jam selepas menjaringkan gol kemenangan ke atas Ivory Coast pada pusingan 32 terbaik, Haaland mengenakan pakaian koboi lengkap di Dallas dan memuat naik video memakai topi serta but koboi yang kemudian tular di media sosial.

“Ia sesuatu yang baik kerana saya sukakan rakyat Amerika. Saya fikir mereka juga agak melucukan dan menyeronokkan.

“Secara jujur, segala-galanya mengenai Piala Dunia setakat ini sangat menakjubkan. Dari perlawanan hingga ke stadium, semuanya hebat.

“Pusat latihan yang kami gunakan juga sangat baik, jadi saya amat gembira dan benar-benar kagum,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top