Kenderaan mewah bukan milik peribadi, tetapi milik kerajaan – Anwar

Kenderaan mewah bukan milik peribadi, tetapi milik kerajaan – Anwar

Kenderaan mewah bukan milik peribadi, tetapi milik kerajaan – Anwar


JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kenderaan mewah yang digunakan beliau bukan milik peribadi, sebaliknya merupakan milik kerajaan Malaysia.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, kereta berkenaan dikurniakan Yang di-Pertuan Agong buat kegunaan Perdana Menteri Malaysia.

“Kereta itu kurniaan Yang di-Pertuan Agong, didaftar bukan atas nama Anwar Ibrahim tetapi atas nama Jabatan Perdana menteri. Apabila saya berhenti jadi Perdana Menteri, kereta itu saya punya tetapi kerajaan punya. Ia telah sedia ada sebelum saya menjadi Perdana Menteri lagi.

“Dia ingat kita kaki sakau macam dia ke, dia sakau bilion, kita pakai kereta mewah dia bising. Isu helikopter lupa, kapal selam lupa, projek besar lupa, tetapi kita tidak lupa,” katanya ketika berucap pada Program Grand Finale Harapan Johor Selatan di Taman Pelangi Indah, di sini malam ini.

Isnin lalu, Jabatan Perdana Menteri bersama Bahagian Istiadat dan Urusetia Antarabangsa (BIUPA) dalam kenyataan memaklumkan kereta jenis BMW yang digunakan Perdana Menteri baru-baru ini adalah aset sedia ada milik kerajaan dan bukannya kenderaan rasmi baharu.

Sementara itu, Anwar turut memberitahu, kehadiran PH di negeri ini bertujuan menawarkan politik khidmat kepada rakyat negeri Johor.

“Kita datang tawar khidmat, dahulu mungkin kita hanya berjanji tetapi sekarang kita beritahu rekod kita. Minyak sudah turun, diesel sudah turun, rakyat dapat bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

“Memang Johor telah catat pembangunan, tetapi pembangunan itu perlulah seimbang di semua kawasan, melibatkan semua rakyat, Melayu, Cina, India, dayak dan lain-lain,” katanya.

Tambah beliau, Malaysia dan Johor mempunyai banyak potensi untuk menjadi negara dan negeri maju serta membangun sekiranya semua kaum bersatu padu dan bekerjasama antara satu sama lain.-UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top