Sydney : Dunia perfileman antarabangsa diselubungi duka apabila pelakon veteran kelahiran New Zealand, Sam Neill, yang cukup dikenali menerusi watak ahli paleontologi, Dr Alan Grant dalam filem blockbuster Jurassic Park, disahkan meninggal dunia pada usia 78 tahun.
Sepanjang kerjayanya, Neill membintangi lebih 50 buah filem. Berita sedih itu dikongsikan ahli keluarganya menerusi satu hantaran di media sosial.
Menurut kenyataan tersebut, kematian Neill di Sydney, Australia berlaku secara mengejut dan tidak disangka-sangka, namun mereka bersyukur kerana dia pergi dalam keadaan bebas daripada penyakit kanser.
Pada April lalu, Neill mengumumkan dia sudah bebas daripada kanser selepas terbuka berkongsi mengenai perjuangannya melawan kanser darah.
Disifatkan sebagai pelakon yang versatil dan sentiasa cemerlang, Neill berjaya membawa pelbagai watak dalam pelbagai genre filem termasuk watak sebagai pegawai kapal selam dalam filem aksi The Hunt for Red October (1990) sehinggalah watak ‘anti-Christ’ dalam filem Omen III (1981).
Neill turut memegang watak sebagai suami yang berdepan penderitaan, antaranya ketika bergandingan dengan Holly Hunter dalam filem pemenang Anugerah Oscar, The Piano (1993) serta gandingannya bersama Meryl Streep dalam filem Evil Angels (1988) yang juga dikenali sebagai A Cry in the Dark.
Dilahirkan di Omagh, sebuah bandar di Ireland Utara dengan nama Nigel John Dermot Neill sebelum berhijrah ke New Zealand ketika berusia tujuh tahun selepas bapanya, seorang warga New Zealand, bersara daripada tentera dan mahu pulang ke tanah air.
Langkah kanan Neill dalam industri bermula menerusi filem berbajet rendah New Zealand, Sleeping Dogs (1977) yang melonjakkan namanya sehingga menerima tawaran filem berbajet lebih besar di negara jiran, Australia.
Walaupun namanya kian mekar dan popular, Neill tetap setia pulang ke New Zealand untuk bekerja. Di tanah airnya, Neill amat disayangi menerusi watak lelaki tua yang cepat marah bernama Hector dalam filem bajet rendah Hunt for the Wilderpeople (2016) arahan pengarah terkenal, Taika Waititi.
Neill hampir meraih populariti luar biasa pada pertengahan tahun 1980-an apabila dipanggil menghadiri sesi uji bakat untuk watak ejen rahsia ikonik, James Bond. Bagaimanapun, Neill mengakui hatinya tidak telus untuk watak itu dan berasa janggal sepanjang uji bakat yang berlangsung sehari suntuk.
Sepanjang bergelar anak seni, Neill pernah tercalon dalam tiga Anugerah Golden Globe dan dua Anugerah Primetime Emmy serta turut memenangi tiga anugerah televisyen Australia, termasuk satu kemenangan pada tahun 2025 menerusi drama The Twelve.
Pada 2022, Neill akhirnya menerima gelaran kesatriaan (knighthood) atas sumbangan luar biasanya dalam dunia perfileman, selepas bertahun-tahun menolak penghormatan tersebut. Menurut Neill, dia hanya menerimanya kali ini kerana merasakan penting untuk semua cabang seni diiktiraf.
Neill yang pernah berkahwin dan bercerai sebanyak dua kali, menghabiskan sebahagian besar tahun-tahun terakhirnya di Australia dan di ladang anggurnya yang terletak di Central Otago, New Zealand.
Mendapat pujian tinggi hasil usaha pembuatan wainnya, Neill mula mengeluarkan produk wain jenis Pinot Noir di tanah miliknya di Central Otago di bawah label ‘Two Paddocks’ pada 1997.
Neill sering menghiburkan peminatnya dengan memuat naik gambar haiwan-haiwan di ladangnya, di mana kebanyakannya dinamakan sempena rakan-rakan selebriti terkenalnya, termasuk seekor ayam betina bernama Laura Dern dan seekor lembu jantan bernama Graham Norton.
Neill meninggalkan dua anak lelaki dan dua anak perempuan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






