Kuala Lumpur: Kemahiran seorang graduan animasi akhirnya diterjemahkan menjadi identiti rasmi Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 apabila hasil ciptaan Aiman Amri dipilih sebagai logo temasya sukan terbesar Asia Tenggara itu.
Anak muda berusia 23 tahun itu membuktikan kreativiti, bakat dan keberanian mencuba masih menjadi kekuatan anak tempatan apabila mengatasi peserta lain menerusi penyertaan sulungnya dalam pertandingan berkenaan.
Inspirasi logo itu tercetus hanya dengan melihat angka ‘2027’ sebelum Aiman mengolahnya menjadi imej burung kenyalang yang turut menggambarkan pergerakan seorang atlet sedang melompat sebagai simbol semangat kesukanan.
“Saya berinspirasi daripada angka ‘2027’ itu sendiri kerana saya nampak nombor itu boleh dibentuk menjadi burung kenyalang, selain memberi gambaran seorang ahli sukan yang sedang bergerak,” katanya.
Graduan Diploma Animasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang kini menyambung pengajian Ijazah Reka Bentuk Grafik secara sambilan itu, mengambil masa hampir dua bulan memperincikan setiap lakaran sebelum berjaya menghasilkan rekaan akhir.
Lebih membanggakan, Aiman hanya mempertaruhkan satu logo bersama satu rekaan maskot dalam percubaan pertamanya sebelum diumumkan sebagai pemenang.
Di sebalik kejayaan itu, tersimpan kisah seorang anak sulung kepada pengawal keselamatan dan ibu yang bekerja sambilan sebagai tukang jahit yang membesarkan empat beradik dengan penuh pengorbanan.
“Ramai anak muda Malaysia mempunyai kemahiran dalam reka bentuk grafik, animasi dan VFX, jadi AI sepatutnya hanya membantu mengembangkan idea, bukannya mengambil alih kreativiti kita,” katanya.
Bagi Aiman, kemenangan itu bukan sekadar membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000, malah menjadi pengiktirafan terhadap kemampuan anak muda tempatan menghasilkan karya bertaraf antarabangsa.
“Saya akan gunakan sebahagian wang kemenangan ini untuk pelaburan kerana saya masih muda, manakala perkara pertama yang saya mahu lakukan ialah membawa keluarga keluar makan sebagai tanda penghargaan atas segala pengorbanan mereka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






