Atlanta: Pemain tengah Argentina, Alexis Mac Allister mahu rakan sepasukannya menjadikan semangat Diego Maradona sebagai inspirasi apabila menentang England pada aksi separuh akhir Piala Dunia, awal pagi esok.
Pertembungan dua kuasa besar di Atlanta itu menghidupkan semula salah satu perseteruan paling bersejarah dalam bola sepak dunia yang memuncak pada Piala Dunia 1986 di Mexico.
Maradona menjaringkan kedua-dua gol Argentina dalam kemenangan suku akhir ketika itu, termasuk jaringan kontroversi ‘Tangan Tuhan’ serta satu gol solo yang dianggap antara jaringan terbaik dalam sejarah Piala Dunia.
Argentina kemudian muncul juara dunia, kejayaan yang diulangi pada 2022 dengan Lionel Messi sebagai tonggak utama, manakala Mac Allister turut berada dalam skuad berkenaan.
“Saya tidak tahu sama ada ia kebetulan atau tidak, tetapi sejak beberapa hari lalu saya mula menonton semula video Diego, termasuk perlawanan pada 1986 dan beberapa rakaman lain yang membuatkan saya lebih bersemangat serta mengimbau kenangan itu,” kata pemain Liverpool itu kepada media.
“Diego membawa makna sangat besar kepada negara kami dan saya harap kami mampu melakukan sesuatu yang sama seperti pasukan pada 1986,” tambah pemain tengah berusia 27 tahun itu.
Mac Allister mempunyai hubungan istimewa dengan legenda Argentina itu apabila bapanya, Carlos Mac Allister, pernah beraksi bersama Maradona dalam skuad kebangsaan serta di kelab Boca Juniors.
Menurutnya, kehebatan Maradona sukar ditandingi oleh mana-mana pemain.
“Dia mampu melakukan sesuatu yang lahir secara semula jadi daripada dirinya dan ia hampir mustahil untuk diulangi. Mungkin hanya Leo (Messi) yang mampu melakukan perkara seperti itu,” katanya.
Aksi awal pagi esok akan menjadi pertemuan pertama Argentina dan England di pentas Piala Dunia sejak edisi 2002, dengan juara bertahan itu memburu tempat ke final buat kali kedua berturut-turut dan kali ketiga dalam tempoh empat kejohanan.
Mac Allister turut berpendapat England masih belum mempamerkan intensiti sebenar seperti yang biasa disaksikan dalam Liga Perdana Inggeris.
“Saya tidak tahu sama ada ia disebabkan cuaca panas, keadaan iklim atau faktor lain. Tetapi mereka tetap sebuah pasukan yang hebat dan kami sangat menghormati mereka.
“Saya menjangkakan perlawanan esok akan berlangsung dengan intensiti tinggi dan sudah tentu kedua-dua pasukan akan berdepan tekanan yang besar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






