Bekas tentera direman 4 hari disyaki miliki 205 peluru hidup

Bekas tentera direman 4 hari disyaki miliki 205 peluru hidup

Bekas tentera direman 4 hari disyaki miliki 205 peluru hidup


am@hmetro.com.my

Kangar: Bekas tentera direman empat hari bermula hari ini berhubung penemuan 205 butir peluru hidup pelbagai jenis tanpa permit sah, awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Kangar Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, perintah reman sehingga 22 Julai ini terhadap lelaki berusia 49 tahun itu dikeluarkan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Menurutnya, serbuan dilakukan pada 5.30 pagi pada 5 Julai lalu di sebuah unit di Pangsapuri Terinai, di sini, hasil laporan polis di Balai Polis Beseri.

Katanya, serbuan dijayakan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (D9 dan D8) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis dengan dipandu arah oleh suspek sendiri.

“Pemeriksaan rapi di kediaman terbabit membawa kepada penemuan sebuah kotak hitam bertulis ‘Opsmen Earmor’ yang disembunyikan di bahagian bawah almari.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kotak berkenaan menemukan tiga kotak kecil bertulis Eley Tenex .22 Rimfire Long Rifle, yang mana dua daripadanya mengandungi 50 butir peluru, manakala sekotak lagi berisi 48 butir peluru,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Yusharifuddin berkata, polis turut menemukan 39 butir peluru jenis SME Ordnance 9mm ball di dalam kotak lutsinar serta 18 butir peluru 5.56mm Ball M193 di dalam sebuah kotak lain.

Katanya, penemuan kesemua amunisi terbabit menjadikan jumlah keseluruhan peluru hidup yang dirampas adalah sebanyak 205 butir.

“Selain peluru hidup, polis turut merampas sekeping kad keahlian Persatuan Menembak Perlis atas nama suspek yang sudah tamat tempoh sah laku pada 2019, berserta segugus anak kunci.

“Suspek yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu kini ditahan bagi siasatan lanjut untuk mengenal pasti motif pemilikan amunisi berkenaan,” katanya.

Sabit kesalahan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Semalam, seorang subkontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret, di sini, atas enam pertuduhan menjalankan urus niaga haram serta memiliki senjata api dan peluru, awal bulan ini.

Tertuduh, Yeong Kok Hoong, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya secara berasingan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid dan Majistret Ana Rozana Mohd Nor.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top