REMBAU: Persefahaman yang terjalin antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bukan satu bentuk perjanjian, sebaliknya strategi bagi memaksimumkan peluang merampas semula pentadbiran negeri ini.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama tersebut hanya melibatkan penyelarasan strategi antara kedua-dua pihak tanpa sebarang ikatan perjanjian politik.
“Kita hanya bertanding 25 kerusi. 11 lagi kerusi ditandingi oleh sahabat baharu kita. Ini merupakan strategi politik kita dan koordinasi yang dilakukan ini bukan satu perjanjian.
“Ini bukan satu kesepakatan tetapi sebagai satu persefahaman. Persefahaman ini cukup penting bagi kita kerana dahulu kita hanya mempunyai 14 kerusi dimenangi di bawah BN,” katanya berucap di hadapan ratusan penyokong di Pusat Khidmat Masyarakat BN Parlimen Rembau, di sini hari ini.
Pada PRN Negeri Sembilan kali ini, BN bertanding di 25 daripada 36 kerusi, manakala baki 11 kerusi ditandingi oleh PN yang disifatkan sebagai ‘rakan yang boleh dipercayai’.
Ahmad Zahid berkata, pendekatan strategik yang diambil diyakini mampu mengembalikan pentadbiran Negeri Sembilan ke tangan BN selepas pilihan raya kali ini.
“Insya-Allah dengan langkah taktikal yang kita lakukan ini, Negeri Sembilan akan kembali ditadbir oleh Barisan Nasional.
“Gelombang biru ini sudah datang ke Negeri Sembilan. Insya-Allah, 1 Ogos adalah hari penentu,” katanya.
Beliau juga berharap jentera BN dapat bekerja keras bagi memastikan setiap calon yang bertanding di DUN Rantau, Chembong dan Kota dapat meraih majoriti lebih tinggi.
“Kita hormat institusi adat dan Raja, kita tatang. Insya-Allah Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan), kita tak tebuk atap, kita buka atap baharu,” katanya. – UTUSAN






