Haziq lunas dendam dengan bergaya, juara maraton 10km

Haziq lunas dendam dengan bergaya, juara maraton 10km


Putrajaya: Kekecewaan dipintas di garisan penamat tahun lalu akhirnya terubat buat pelari remaja Selangor, Muhd Haziq Hairol Izmi apabila muncul juara keseluruhan acara 10 kilometer (km) SCORE Marathon 2026 di sini, semalam.

Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Bangi itu mencuri tumpuan apabila mencatat masa peribadi terbaik 35 minit 31 saat (s) untuk menewaskan pelari lebih berpengalaman, Mohd Rahimi Radzi (35:39s) dan Mohamad Nur Radzman Munib (36:00s).

Lebih bermakna, kejayaan itu hadir selepas Haziq gagal muncul juara edisi lalu apabila dipintas di penghujung perlumbaan oleh Muhd Haris Iman Shuhaimi, pelari yang berjaya ditewaskannya kali ini.

Catatan 35:31s itu juga memperbaharui rekod peribadinya, 49 saat lebih pantas berbanding 36:20s yang dirakam ketika muncul naib juara keseluruhan tahun lalu.

“Saya sebenarnya hanya menyasarkan kejuaraan kategori remaja. Tak sangka boleh muncul juara keseluruhan. Alhamdulillah, ini memang rezeki,” katanya.

Menurut Haziq, kekalahan tahun lalu menjadi pembakar semangat untuk kembali lebih kuat.

“Tahun lalu saya dipintas di penghujung perlumbaan. Kali ini saya berjaya ubah keadaan. Saya bersyukur kerana semuanya menjadi seperti dirancang,” katanya.

Kemenangan itu turut meningkatkan keyakinannya menjelang penampilan sulung di Sukan Malaysia (Sukma) 2026 bersama Selangor dalam acara 5,000 meter (m).

“Ini perlumbaan terakhir sebelum Sukma. Sasaran saya adalah menimba pengalaman kerana ini penyertaan pertama. Saya akan beri yang terbaik dan selepas itu memburu pingat pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SCORE Sports Management, Patricia Tan berkata, penganjuran perlumbaan selama dua hari buat julung kali berjaya menarik hampir 51,000 penyertaan dengan kira-kira 24,000 pelari mengambil bahagian pada hari pertama.

“Suasana hari ini (semalam) sangat luar biasa. Sambutan yang diterima membuktikan format dua hari memberi pengalaman lebih baik kepada peserta dan kami tidak sabar menantikan aksi hari kedua,” katanya.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari melepaskan peserta acara 10km sebelum menyertai larian simbolik sejauh 250 meter bersama robot humanoid, William, yang diperkenalkan rakan inovasi rasmi kejohanan, Work E Robotics.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top