DI sebalik pelbagai pandangan mengenai pemilihan Wan Kuzain Wan Kamal ke dalam skuad Harimau Malaya, sebahagian penyokong tampil meminta pemain tengah itu diberikan peluang untuk membuktikan kemampuan sebenar di Piala ASEAN 2026.
Reaksi yang dikongsikan di media sosial menunjukkan ada peminat percaya Wan Kuzain wajar dinilai berdasarkan aksi di padang, bukan semata-mata latar belakang atau persepsi terhadap perjalanan kariernya.
Bagi kelompok penyokong berkenaan, pengalaman pemain berusia 27 tahun itu beraksi dalam saingan profesional Amerika Syarikat (AS) bersama Sporting JAX boleh menjadi aset tambahan buat Harimau Malaya, terutama dalam usaha memperkukuh bahagian tengah pasukan.
Mereka berpandangan kehadiran Wan Kuzain mampu mewujudkan persaingan sihat dalam skuad kebangsaan selain memberi lebih banyak pilihan kepada Tan Cheng Hoe ketika merencanakan taktikal.
Bagi bahagian tengah, Harimau Malaya ketika ini memiliki Endrick Dos Santos dan Zhafri Yahya, antara pemain senior selain pemain tengah menyerang, Sergio Aguero yang turut dipanggil Cheng Hoe.
Sebelum ini, Wan Kuzain pernah mendapat pendedahan di peringkat antarabangsa bersama skuad bawah 17 (B-17) AS selain hampir menyertai skuad B-22 Malaysia pada 2019, namun peluang itu terhalang susulan isu dokumentasi.
Kini, aksi kompetitif bersama Harimau Malaya menjadi medan terbaik buat Wan Kuzain membuktikan kemampuannya apabila Malaysia berdepan Myanmar dalam aksi pembukaan Kumpulan B di Stadium Thuwunna, Yangon, Sabtu ini.
Selepas itu, skuad negara berdepan Laos di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada 28 Julai, sebelum bertandang ke Bangkok untuk aksi ketiga menentang Thailand di Stadium Rajamangala, 1 Ogos.
Malaysia kemudian melengkapkan kempen kumpulan berdepan Filipina di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada 8 Ogos.






