Bekas ahli lembaga pengarah didakwa guna dokumen palsu pinjam RM500,000

Bekas ahli lembaga pengarah didakwa guna dokumen palsu pinjam RM500,000

Bekas ahli lembaga pengarah didakwa guna dokumen palsu pinjam RM500,000


am@hmetro.com.my

Seremban: Bekas ahli lembaga pengarah sebuah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas empat pertuduhan menggunakan dokumen palsu untuk membuat pinjaman bank berjumlah RM500,000, enam tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Al Khafiz Zainal, 45, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Shahrul Rizal Majid sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut empat pertuduhan, tertuduh secara tidak jujur menggunakan empat dokumen sebagai tulen yang tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen itu adalah palsu.

Perbuatan itu dilakukan pada 14 Mei dan 9 Oktober 2020 di sebuah premis di Jalan Haruan 5/6, Pusat Komersial Oakland, di sini.

Justeru, tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama.

Jika disabitkan, hendaklah dihukum penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Atikah Ab Rashid menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.

Peguam Shahidah Muslimah Roslan memberitahu mahkamah, anak guamnya kini bekerja sebagai tukang masak dengan pendapatan RM2,000 selepas syarikatnya gulung tikar ketika pandemik Covid-19.

Menurutnya, anak guamnya juga menanggung beban hutang syarikat selepas tidak lagi beroperasi selain tertuduh juga bapa tunggal kepada dua anak berusia 16 dan 24 tahun.

Shahidah Muslimah memaklumkan, anak guamnya memberikan kerjasama sepanjang siasatan selepas ditahan pada 2024 dan memohon jaminan sebanyak RM15,000.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan pada 22 September.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top