Shah Alam: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor telah melaksanakan intervensi bimbingan dan kaunseling terhadap pelajar terlibat dalam kes pergaduhan yang membabitkan seorang pelajar dan bapanya di hadapan sebuah sekolah menengah di Seri Kembangan, baru-baru ini.
JPN Selangor dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya memberikan kerjasama penuh terhadap proses siasatan dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku, khususnya yang membabitkan keganasan.
“JPN Selangor mengambil serius insiden pergaduhan melibatkan sekumpulan pelajar seperti yang tular dan dilaporkan media baru-baru ini. Insiden ini sedang dalam siasatan polis.
“JPN Selangor memberikan kerjasama penuh terhadap siasatan yang sedang dilakukan. Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati bersalah,” menurut kenyataan itu.
JPN Selangor menasihatkan masyarakat untuk tidak membuat spekulasi dan menyebarkan maklumat tidak sahih selain mengingatkan perbuatan menyebarkan identiti remaja di bawah umur dalam kes itu salah di sisi undang-undang.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Serdang ACP Muhamad Farid Ahmad mengesahkan penahanan beberapa individu bagi membantu siasatan kes seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun dan bapanya cedera dipukul di hadapan sebuah sekolah menengah pada 3 Julai.
Beliau berkata kejadian berlaku pada waktu tengah hari selepas remaja itu didakwa dikepung dan dipukul manakala bapanya cedera semasa cuba meleraikan pergaduhan tersebut.
© New Straits Times Press (M) Bhd






