Kerjasama politik BN- PN bukan perjanjian tapi persefahaman

Kerjasama politik BN- PN bukan perjanjian tapi persefahaman

Kerjasama politik BN- PN bukan perjanjian tapi persefahaman


PETALING JAYA: Kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan hanya melibatkan persefahaman dan bukan perjanjian politik sebagaimana di peringkat Persekutuan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tiada perjanjian rasmi dibuat di peringkat negeri, sekali gus memberi ruang kepada parti untuk menentukan strategi dan pendekatan terbaik bagi memastikan UMNO serta BN terus relevan mencapai kemenangan.

“Pada peringkat negeri tiada perjanjian. Sebab itu kita bebas menentukan strategi dan pendekatan terbaik bagi memastikan UMNO dan BN terus relevan serta menang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Cheras 2026 di Pusat Rekreasi Cheras, di sini malam tadi.

Sebelum ini Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran menyeru BN mempertimbangkan langkah untuk bertanding secara solo dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang susulan kenyataan pimpinan Pas yang didakwa kerap menyinggung perasaan masyarakat bukan Melayu.

Menurut Ahmad lagi, semua pihak perlu melihat perkembangan semasa berkenaan di Negeri Sembilan itu terlebih dahulu sebelum sebarang langkah seterusnya diputuskan.

Katanya, proses rundingan perlu bagi memastikan sebarang bentuk kerjasama yang dibentuk mengambil kira keadaan politik dan kehendak semasa di peringkat negeri termasuk komposisi masyarakat serta keunikan politik.

“Sebagai contoh Negeri Sembilan mempunyai keunikan tersendiri dari segi komposisi masyarakat kerana kaum Melayu bukan merupakan majoriti yang terlalu besar. Pada masa sama, jumlah masyarakat Cina dan India di negeri itu juga agak tinggi.

“Keadaan ini mewujudkan satu bentuk persefahaman yang unik di Negeri Sembilan dan menjadi antara faktor penting dalam menentukan pendekatan yang membolehkan langkah politik diambil secara lebih kukuh dan menyeluruh.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Bahagian Cheras, Prof. Fuziah Mohd. Amin berkata, UMNO perlu lebih aktif dalam mendekati golongan muda dan profesional dengan cara yang lebih segar, inklusif serta bersesuaian dengan keperluan generasi masa kini.

“Golongan tersebut tidak hanya mahu mendengar slogan, sebaliknya mereka mahukan peluang pekerjaan dan rumah mampu milik sebagai contoh. Justeru UMNO perlu terus bekerja kuat bermula sekarang,” jelasnya. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top