Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan semua pihak termasuk pemimpin politik supaya tidak menyentuh isu berkaitan etnik, agama, budaya dan latar belakang kaum lain kerana perkara itu boleh menimbulkan pelbagai tafsiran serta menjejaskan keharmonian masyarakat.
Malaysia negara dibina kepelbagaian kaum
Memetik laporan daripada Utusan Malaysia, Timbalan Perdana Menteri itu menyatakan, Malaysia merupakan sebuah negara yang dibina atas kepelbagaian kaum dan budaya, justeru semua pihak perlu menghormati kemajmukan rakyat serta mengelakkan perkara yang boleh mencetuskan salah faham.
“Saya tidak mahu timbul sebarang interpretasi yang akhirnya meresahkan pelbagai pihak. Jika hasrat beliau adalah untuk memperlihatkan penyatuan dalam kalangan umat, tidak perlulah menyentuh soal etnik, agama, budaya dan latar belakang kaum-kaum lain di negara ini.
“Saya yakin dengan kemajmukan rakyat di negara ini. Kepelbagaian latar belakang ini merupakan sunatullah yang telah ditentukan,” katanya selepas Program Salam Agrikomoditi Madani di Dataran Melang, Kuala Pilah.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika berucap pada ceramah di Jempol yang menyentuh mengenai asal-usul tanah air masyarakat Melayu, India dan Cina sebelum mengajak Pas serta UMNO kembali bersatu bagi mempertahankan bangsa dan agama.
Tak perlulah sentuh perkara-perkara sedemikian
Tambah beliau, sekiranya mahu menjalinkan hubungan yang baik, ia perlu dilakukan dengan cara yang betul tanpa membangkitkan perkara yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat.
“Jadi, tidak perlulah menyentuh perkara-perkara sedemikian. Jika mereka berhasrat untuk berkawan, berkawanlah dengan cara yang baik, bukan dengan menyentuh perkara-perkara lain,”katanya.
Dalam masa sama, Ahmad Zahid mengaskan beliau tidak berniat untuk menasihati Muhammad Sanusi, sebaliknya hanya mengingatkan bahawa kenyataan sedemikian mungkin lebih sesuai disampaikan kepada khalayak di Kedah.
“Ucapan beliau mungkin sesuai untuk khalayak di negeri Kedah. Saya tidak berhasrat untuk menasihati, sebaliknya sekadar ingin mengingatkan.
“Biarpun ada harimau di dalam dada beliau, pada saat ini amat sesuai jika yang keluar daripada kalam beliau hanyalah kambing sahaja,” katanya.

Ahmad Zahid turut meminta Muhammad Sanusi memberi tumpuan kepada tanggungjawabnya di Kedah dan tidak perlu hadir berkempen di Negeri Sembilan sehingga hari pengundian.
“Kalau boleh, sehingga hari Sabtu nanti, yang berbaki enam hari lagi, saya fikir lebih baik beliau menumpukan perhatian kepada tanggungjawabnya di negeri Kedah.
“Tidak perlu datang ke Negeri Sembilan. Biarlah kami menguruskan Negeri Sembilan dengan cara kami sendiri. Yang lain-lain datang itu tidak mengapa,”katanya.
Sumber: Utusan Malaysia (Fatin Norizati Mat Isa)






