Malaysia kunci gelaran beregu campuran

Malaysia kunci gelaran beregu campuran

Malaysia kunci gelaran beregu campuran


MALAYSIA memastikan gelaran beregu campuran Kejuaraan Badminton Remaja Antarabangsa Petronas 2026 kekal di tangan tuan rumah apabila dua gandingan negara berjaya mengatur pertembungan sesama sendiri di pentas final di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Ahad.

Irfan Shazmir-Nur Aina Maisarah Hatta muncul pasangan pertama menempah tiket ke final selepas menewaskan wakil Indonesia, Faza Iwadh Kurnia Ramdhan-Rachel Machalul Cahya Ayu 21-7, 21-13 dalam tempoh hanya 24 minit pada Sabtu.

Ahmad Redzuan Zulwaqqarizal Ahmad-Teh Si Yan kemudian melengkapkan aksi final sesama Malaysia apabila menundukkan rakan senegara, Isyraf Hafizin-Lee Joinne 21-6, 18-21, 21-15 dalam pertarungan yang berlarutan selama 43 minit.

Irfan Shazmir mengakui dia dan Nur Aina Maisarah tidak meletakkan sasaran terlalu tinggi, malah kemaraan ke pentas final sudah pun melepasi jangkaan mereka.

“Kami akan menggunakan segala yang dipelajari untuk menghadapi lawan esok dan berharap dapat muncul juara,” katanya.

Nur Aina Maisarah pula berkata, kehadiran ibu bapanya di Stadium Titiwangsa menjadi pembakar semangat sepanjang perlawanan, sekali gus meningkatkan keyakinannya untuk memberikan aksi terbaik.

“Kami akan melakukan yang terbaik untuk mengurangkan kesilapan sendiri serta membaca corak permainan dengan lebih baik,” katanya.

Dalam saingan perseorangan wanita, hasrat wakil negara, Lee Kay Xin untuk melangkah ke final tidak kesampaian apabila tewas kepada pemain Thailand, Kungkaew Kakanik 20-22, 15-21.

Bagaimanapun, kem negara masih mempunyai wakil dalam acara perseorangan lelaki menerusi Tiew Wei Jie yang mengesahkan tempat ke pentas final selepas menewaskan rakan senegara, Lee Louis 21-14, 21-12.



Source link

OR

Scroll to Top