Bordeaux, Perancis: Kebakaran hutan tidak terkawal di barat daya Perancis dan berhampiran ibu negara Sepanyol, Madrid, memaksa hampir 260,000 orang melarikan diri serta mendorong Paris mengerahkan tenteranya.
Perancis pada awalnya memindahkan 197,000 orang dari kawasan sekitar lokasi percutian popular Bordeaux, dalam antara pemindahan terbesar pernah dilakukan ketika tempoh aman.
Bagaimanapun, kira-kira 3,000 orang kemudian dibenarkan pulang.
Di Sepanyol, kira-kira 60,000 orang dipindahkan dari kampung di barat Madrid susulan kebakaran itu.
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez berkata, keutamaan ketika melawat kawasan kebakaran adalah untuk ‘menyelamatkan nyawa’.
Pasukan bomba di Sepanyol dan Perancis yang bertungkus lumus sepanjang masa selama beberapa hari masih gagal mengawal kebakaran besar itu, yang turut meragut nyawa dua anggota bomba Perancis berhampiran Bordeaux awal minggu ini.
Pihak berkuasa kedua-dua negara sebelum ini berkata, sebahagian besar kebakaran mula berkurangan, namun usaha memadam kebakaran masih jauh daripada berjaya sepenuhnya.
Sementara itu, Perdana Menteri Perancis, Sebastien Lecornu memberi amaran, ramalan cuaca kembali tidak memihak dan beberapa jam akan datang mungkin sukar.
Kebakaran di Sepanyol dan Perancis merebak dengan pantas berikutan keadaan mudah terbakar yang bertambah buruk akibat gelombang haba berturut-turut sejak Mei.
Perancis mengerahkan 1,500 anggota tentera dan 1,700 anggota keselamatan untuk membantu pasukan bomba berhampiran Bordeaux, manakala seramai 1,400 anggota bomba sedang memerangi kebakaran itu.
Kebakaran yang sedang berlaku di seluruh Perancis memusnahkan hampir 98,000 hektar kawasan yang disifatkan sebagai ‘rekod bersejarah’ oleh Menteri Dalam Negeri, Laurent Nunez.
Difahamkan, di kawasan barat daya Perancis sahaja, api memusnahkan lebih 32,000 hektar kawasan dan sekurang-kurangnya 100 bangunan.
Kebakaran di barat Madrid pula memusnahkan sehingga 25,000 hektar kawasan dengan dua daripada tiga kebakaran hutan utama di kawasan itu bergabung menjadi satu dan mengancam membentuk kebakaran besar berhampiran ibu negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd






