Barisan Nasional (BN) menegaskan tidak akan berkompromi dengan sebarang kenyataan yang menghidupkan sentimen perkauman atau mempersoalkan kedudukan mana-mana kaum di Malaysia.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, gabungan itu menolak politik yang membina tembok perkauman serta meniupkan politik ketakutan sehingga mencetuskan curiga, prasangka dan kebencian dalam kalangan rakyat.
“Barisan Nasional ingin menegaskan bahawa persefahaman dan kerjasama politik yang diwujudkan dalam pilihan raya Negeri Sembilan tidak sekali-kali bermaksud BN akan menggadaikan prinsip perjuangannya atau menerima naratif politik mana-mana pihak.
“BN kekal berdiri atas prinsip sendiri,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada ucapan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan baru-baru ini.

Sebelum ini, Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) dilaporkan berkata orang Melayu tidak mempunyai tanah air lain selain Malaysia, berbanding kaum lain yang mempunyai negara asal masing-masing.
Susulan kenyataan itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihati Sanusi supaya lebih berhati-hati ketika berucap dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan kontroversi, khususnya dalam masyarakat berbilang kaum di Negeri Sembilan.

Artikel lain: Tok Mat yakin BN mampu selesai krisis takhta N. Sembilan – “Tunggu menang PRN dulu”
Bagaimanapun, Sanusi mendakwa kenyataannya telah diputar belit dan memaklumkan akan membuat laporan polis serta mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didakwa memanipulasi ucapannya bagi kepentingan politik.
Mengulas lanjut, Zambry berkata BN telah membuktikan selama lebih enam dekad bahawa Malaysia mampu dibangunkan berasaskan perkongsian kuasa, sikap saling menghormati dan kesederhanaan.
“Rekod inilah yang menjadi kekuatan BN dalam memelihara kestabilan, keharmonian dan kemajuan negara.
“Sehubungan itu, BN menolak dan tidak akan berkompromi dengan sebarang kenyataan yang menghidupkan sentimen perkauman, mempersoalkan kedudukan mana-mana kaum sebagai sebahagian daripada warga Malaysia atau menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.
“Selepas hampir tujuh dekad merdeka, politik yang memecah-belahkan rakyat mengikut asal usul kaum tidak mempunyai tempat dalam membina sebuah negara bangsa yang bersatu,” katanya lagi.
Sumber: FB Barisan Nasional






