am@hmetro.com.my
Pendang: Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendang maut selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan dengan sebuah lagi motosikal dan treler di Jalan By Pass di sini, hari ini.
Pelajar lelaki berusia 15 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Pendang, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan itu pada 1.40 tengah hari, dengan dua motosikal masing-masing ditunggang pelajar berusia 15 tahun, manakala pemandu lori berusia 27 tahun.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika lori treler terbabit yang datang dari arah Kuala Kedah menghala ke Padang Pusing memberi isyarat untuk berhenti di bahu kiri jalan.
“Pemandu kemudian mendakwa terdengar bunyi dentuman dari arah belakang dan mendapati motosikal Honda EX5 Dream Fi yang ditunggang mangsa melanggar sisi sebelah kanan treler dan tercampak di tengah jalan.
“Dalam masa sama sebuah lagi motosikal iaitu Yamaha 135LC tidak sempat membrek, lalu melanggar mangsa, ” katanya ketika dihubungi hari ini.
Rodzi berkata, mangsa meninggal dunia, manakala penunggang kedua cedera ringan dan pemandu lori tidak cedera.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Menurutnya, pemandu lori yang didapati negatif dadah berdasarkan ujian saringan air kencing kini ditahan untuk tindakan lanjut selepas memberhentikan kenderaan tanpa isyarat sepatutnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
