BERBEKALKAN minat dalam bidang makanan dan modal kecil, usahawan tempatan, Shamsiah Shaikh Husin tidak menyangka mampu membina perniagaan sejak lebih 15 tahun lalu sehingga berkembang merangkumi pengeluaran makanan, pembekalan dan perkhidmatan katering.
Bermula secara kecil-kecilan dengan menghasilkan sendiri kuih tradisional, kek dan roti untuk perniagaan makanan dan minumannya (F&B), Pengasas Star Mealz Sdn. Bhd. itu melihat permintaan tinggi terhadap kuih tradisional sebagai peluang untuk mengembangkan perniagaan.
“Apabila melihat peningkatkan permintaan, saya mengembangkan perniagaan ini secara berperingkat sehingga Star Mealz kini terlibat dalam pembekalan makanan, pengeluaran produk makanan serta perkhidmatan katering.
“Pada masa sama, saya terus memberi perhatian kepada pembangunan jenama Rumah Pastry yang menghasilkan pelbagai produk bakeri dan kuih tradisional, selain memperoleh pensijilan halal pada Februari lalu.
“Bagi saya, kejayaan yang dicapai hari ini bukan sekadar hasil daripada minat terhadap bidang makanan, sebaliknya lahir daripada keinginan untuk mengangkat semula kuih-muih tradisional agar terus dikenali dan dinikmati generasi masa kini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, sokongan daripada tenaga kerja, keluarga dan pelanggan juga menjadi pendorong utama untuk beliau terus mengembangkan perniagaan.
“Justeru itu, saya juga berhadapan dengan pelbagai cabaran. Antara yang tersebar sepanjang membangunkan perniagaan ialah persaingan sengit dalam industri makanan, peningkatan kos bahan mentah, pengurusan tenaga kerja dan proses mendapatkan pensijilan halal.
“Cabaran ini lebih mencabar ketika perniagaan masih bergantung kepada modal sendiri yang terhad dan sebahagian proses pengeluaran masih dilakukan secara separa manual.
“Pada peringkat awal, kami bermodal sendiri dan jumlahnya terhad. Jadi, kami perlu mengembangkan perniagaan secara berperingkat mengikut kemampuan.
“Kami juga perlu mengurus kos dengan teliti dan mengutamakan keperluan yang benar-benar penting untuk operasi,” katanya.
Dalam usaha mengatasi cabaran tersebut, Shamsiah berkata, beliau memperkemaskan sistem pengurusan, memastikan proses operasi mematuhi keperluan halal serta meningkatkan kualiti produk.
“Proses mendapatkan pensijilan halal turut memerlukan persediaan dari segi dokumentasi, pematuhan prosedur dan kawalan operasi yang konsisten.
“Pensijilan halal memerlukan pematuhan menyeluruh dalam operasi. Selepas memperolehnya, kami menerima sokongan lebih baik daripada pihak hotel dan pemain industri makanan,” katanya.
Beliau berkata, pensijilan berkenaan turut meningkatkan keyakinan pelanggan dan rakan niaga terhadap produk Star Mealz dan Rumah Pastry, sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk mengembangkan pasaran.
Baginya, perjalanan lebih 15 tahun dalam dunia perniagaan juga tidak mungkin dicapai tanpa sokongan keluarga, tenaga kerja, pelanggan dan komuniti.
Mengenai pengurusan modal, Shamsiah berkata, beliau sejak awal mengamalkan pendekatan berhemah dengan memberi keutamaan kepada pembelian bahan mentah, peralatan dan kos operasi harian.
“Hasil jualan pula digunakan sebagai pusingan modal bagi membolehkan perniagaan terus berjalan dan dikembangkan secara berperingkat.
“Pendekatan itu membolehkan Star Mealz berkembang daripada sebuah perniagaan kecil kepada perniagaan yang mempunyai beberapa cabang aktiviti termasuk pembekalan makanan, pengeluaran produk dan katering,” jelasnya.
Dalam pada itu, seiring perubahan landskap perniagaan, Shamsiah turut mengambil langkah mengubah pendekatan perniagaannya daripada kaedah konvensional kepada perdagangan digital.
“Jika sebelum ini perniagaan lebih tertumpu kepada pelanggan secara fizikal, katering dan pembekalan kepada hotel serta pemain industri makanan, kini kami menggunakan TikTok, TikTok Shop dan media sosial untuk mempromosikan produk.
“Penggunaan platform digital membolehkan produk tradisional dan keluaran Muslim diperkenalkan kepada kelompok pelanggan yang lebih luas.
“Perdagangan digital membantu kami mencapai pelanggan yang lebih luas dan membuka peluang pasaran yang sebelum ini sukar dicapai.
“Media sosial juga menjadi saluran untuk kami memperkenalkan produk kepada generasi muda,” katanya.
Jelasnya, ketika ini kira-kira 10 hingga 20 peratus daripada jualan produk tertentu datang melalui saluran digital dan angka itu dijangka terus meningkat apabila aktiviti perdagangan digital dipertingkatkan.
“Bagaimanapun, hasil perniagaan berubah mengikut projek dan permintaan pelanggan. Oleh itu, Star Mealz lebih menumpukan pertumbuhan jualan serta perkembangan pasaran secara keseluruhan,” katanya. – UTUSAN
