Irene tuai gangsa untuk Malaysia

Irene tuai gangsa untuk Malaysia

Irene tuai gangsa untuk Malaysia


PETALING JAYA: Atlet angkat berat wanita negara, Irene Jane Henry mempamerkan aksi membanggakan apabila menghadiahkan pingat gangsa dalam kategori wanita 48 kilogram (kg) pada penampilan sulungnya di Sukan Komanwel Glasgow 2026, lewat malam tadi.

Atlet kelahiran Sabah berusia 21 tahun itu menamatkan saingan di kedudukan ketiga keseluruhan selepas mencatat jumlah angkatan 167kg hasil 77kg dalam acara snatch dan 90kg bagi clean and jerk pada pertandingan yang berlangsung di Scottish Event Campus (SEC) Armadillo.

Pingat emas menjadi milik jaguh India, Mirabai Chanu yang mengesahkan statusnya selaku pilihan utama selepas merekodkan jumlah angkatan 190kg.

Atlet Nigeria, Ruth Asuquo Nyong pula membawa pulang pingat perak apabila mengumpul jumlah angkatan 168kg, hanya satu kilogram mengatasi Irene.

Mirabai yang juga pemenang pingat Olimpik serta juara Sukan Komanwel dua kali turut mencipta sensasi apabila memecahkan ketiga-tiga rekod temasya miliknya sendiri sepanjang pertandingan.

Jaguh India itu memperbaharui rekod snatch menerusi angkatan 85kg sebelum mencipta rekod baharu clean and jerk dengan 105kg, sekali gus mengumpul jumlah keseluruhan 190kg.

Kejayaan Irene menyaksikan Malaysia terus menambah kutipan pingat dalam acara angkat berat selepas Mohamad Aniq Kasdan sebelum ini menghadiahkan emas pertama negara menerusi kategori lelaki 60kg.

Pingat tersebut turut mengukuhkan pencapaian kontinjen negara di Glasgow selepas atlet powerlifting para, Bonnie Bunyau Gustin menyumbang gangsa dalam acara lightweight lelaki. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top