Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin menggesa rakyat supaya menolak politik yang bersandarkan sentimen kaum dan agama, sebaliknya membuat pilihan berdasarkan rekod prestasi sesebuah kerajaan.
Menurut laporan Malaysia Gazette, beliau berkata, permainan politik yang membangkitkan isu perkauman dan agama hanya akan mengaburkan pertimbangan rakyat sehingga mereka gagal menilai kemampuan sebenar sesebuah kerajaan dalam mentadbir negara.
“Saya menolak politik perkauman. Saya tahu bahayanya kalau kita hari-hari ceritakan perkauman, membakar semangat agama dan juga perkauman.
“Akhirnya kita menjadi buta dan tidak boleh memilih kerajaan yang berprestasi, tetapi berdasarkan warna kulit dan agama. Ini berbahaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam ceramah di Bilik Gerakan PKR Cabang Seremban sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Rahang, Seremban.
Foto arkib: FB Sim Tze Tzin
Beliau yang juga Pengarah Strategi PKR berkata, budaya politik berasaskan sentimen kaum membolehkan pemimpin yang gagal menunjukkan prestasi terus meraih kemenangan dengan memainkan isu sama setiap kali pilihan raya diadakan.
“Ia boleh membakar semangat, dia menang, selepas itu dia tidak perlu buat apa-apa pun. Dia boleh ada kroni, boleh buat macam-macam, tetapi akhirnya dia boleh menang lagi menggunakan isu perkauman.
“Ini akan menyebabkan banyak negara yang menggunakan politik perkauman akhirnya semakin merudum dan negara menjadi parah,” ujarnya.
Foto arkib: FB Sim Tze Tzin
Dalam masa sama, Sim menyeru rakyat meninggalkan amalan politik lama dan menyokong pendekatan politik baharu yang lebih progresif, telus serta berpaksikan prestasi.
“Ini bukan cerita saya atau Tok Nas, bukan William, bukan Anwar atau Tok Menteri. Ini sesuatu yang lebih besar daripada kita semua. Ini untuk negara kita dan masa depan kita.
“Kita tidak boleh selama-lamanya terperangkap dalam politik perkauman dan politik lama. Kita perjuangkan sesuatu yang lebih baik,” katanya.
Beliau turut menggesa rakyat mempertahankan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang disifatkannya sebagai lebih progresif, bersih dan responsif daripada sebarang usaha untuk menggugat pentadbiran sedia ada.
“Kita telah berjaya menumbangkan Barisan Nasional pada 2018. Kita cuba sejak 2018, ada kerajaan Pakatan Harapan yang pertama jatuh. Kita kembali sekali lagi pada 2023.
“Kali ini, kita harus menghentikan segala cubaan untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan yang lebih progresif, kerajaan yang bersih dan responsif berdasarkan prestasi,” tegas Sim.
Pada masa sama, Sim mendakwa terdapat pihak yang kembali memainkan isu kaum dan agama sebagai strategi untuk melemahkan kerajaan.
“Mereka tahu kalau Pakatan Harapan berjaya, mereka akan kalah selama-lamanya kerana mereka tidak dapat menandingi prestasi yang kita ada.
“Jadi yakinlah perjuangan kita ini berada di landasan yang betul dan kita harus berani untuk memimpin politik yang baharu,” ujarnya lagi.
Sumber: Malaysia Gazette (Muhammad Azizul Osman)





